Abstrak
Tujuan pembangunan kajian ini adalah untuk mengenal pasti sejauh mana pengetahuan
pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) terhadap ilmu
persilatan Melayu Nusantara dan perspektif mereka terhadap tradisi Melayu ini.
Tajuk kajian ini ialah silat dan perspektif mahasiswa/wi Kolej Universiti Islam
Antarabangsa Selangor (KUIS). Ini kerana KUIS sekarang ini masih belum
menjalankan kajian yang terperinci terhadap ilmu persilatan ini daripada aspek
asal-usul, sejarah, etika pemakaian bagi para pesilat dan sebagainya. Ilmu
persilatan sekarang ini tidak lagi dipandang tinggi oleh sebahagian masyarakat
Melayu kerana semakin hari ianya semakin ditelan zaman. Walaubagaimanapun,
banyak sekali ilmu persilatan yang diamalkan sekarang dan mendapat tempat yang
sangat tinggi dalam kalangan masyarakat akan tetapi persoalan yang timbul
adakah ilmu silat yang diajar itu benar-benar asli mengikut syariat Islam. Asal
kepada tertubuhnya seni mempertahankan diri ini bukan sahaja untuk
mempertahankan diri akan tetapi untuk mendekatkan diri pesilat itu kepada
Allah, Tuhan yang Satu. Objektif kajian ini adalah supaya mahasiswa/wi
mengetahui sekurang-kurangnya apakah itu ilmu persilatan tradisi Melayu ini di
samping mempromosi silat dalam kalangan mahasiswa/wi itu sendiri. Kajian ini
akan melalui peringkat temu bual daripada mahasiswa/wi KUIS bagi mendapatkan
maklumat yang dikehendaki. Pengkaji menjangkakan bahawa mahasiswa/wi KUIS akan
lebih bersemangat untuk menyertai ilmu silat yang terdapat di dalam KUIS ini di
samping meyumbang kepada pembangunan sahsiah yang baik dalam persekitaran KUIS.
SENARAI
KANDUNGAN M/S
Abstrak 2
BAB 1: Pengenalan 4
BAB
2: Silat
2.1 Asal-usul Ilmu Persilatan 5
2.2 Sejarah Perkembangan
Ilmu Persilatan di Kepulauan Melayu 7
2.3
Jenis-jenis
Silat 12
2.4
Pantang-larang
Dalam Ilmu Silat 13
2.5
Etika
Pemakaian dalam Ilmu Silat 14
BAB 3: Komponen Persilatan Melayu
3.1 Komponen yang
Terdapat dalam Ilmu Persilatan 18
3.2 Unsur Agama Dalam Persilatan 18
3.3 Peranan Institusi Persilatan Melayu 18
BAB 4:
Perspektif Mahasiswa/wi KUIS terhadap Ilmu Persilatan Melayu 19
PENUTUP
21
BIBLIOGRAFI 22
LAMPIRAN
23
Bab 1 : Pengenalan
SENI Silat Melayu adalah sejenis ilmu membela diri yang diakui umum sebagai
hak asli kepunyaan Melayu. Seni silat ini bukan sahaja mengutamakan unsur
persilatan malah mementingkan unsur kesenian dan peradaban Melayu sebagai
pelengkap yang tidak dapat dipisahkan. Melayu yang dimaksudkan dalam buku ini
bukan sekadar dalam konteks Melayu di Malaysia sahaja malah meliputi dunia
Melayu yang lebih luas yang termasuk dalam lingkungan disiplin sejarah dan
linguistik. D.J.M. Tate menerangkan bahawa perkataan Melayu boleh dirujuk kepda
orang Melayu sebagai satu kaum yang khusus, orang yang bertutur dalam bahasa
Melayu dan orang di suatu kawasan yang mempunyai sifat asas keturunan Melayu
yang sama. Justeru itu dari segi disiplin sejarah, Melayu dirujuk kepada
penduduk Kepulauan Melayu yang meliputi Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam,
Filipina dan beberapa buah pulau kecil yang berdekatan dengan negara tersebut.
Dari segi linguistik pula, C.A. Mees menjelaskan perkataan Melayu dirujuk
kepada kawasan Lautan Teduh iaitu dari Easter Island di sebelah timur ke pulau
Madgaskar di sebelah barat. Oleh demikian luasnya alam Melayu, maka seni bela
diri orang Melayu dikenali dengan berbagai-bagai nama dan panggilan mengikut
bahasa dan loghat tempatan. Sebagai contoh, di Indonesi seni bela diri dikenali
dengan panggilan pencak silat tetapi di Malaysia seni ini dikenali sebagai seni
silat ataupun bersilat.
Tidak dapat disangkal, secara semula jadi manusia mempunyai deria untuk
membela dirinya tanpa mengira sama ada dia pakar atau bukan pakar dalam ilmu
persilatan. Apabila diserang dia tetap akan bertindak balas sama ada secara
seni ataupun secara semula jadi. Kenyataan ini membayangkan bahawa ilmu membela
diri lama wujud bersama-sama kewujudan awal kebudayaan manusia dalam sejarah. Semenjak
zaman Paleolitik lagi iaitu lebih kurang 15000 sebelum Masihi, ilmu membela diri
digunakan oleh manusia purba yang dikenali dengan panggilan Phithecanthropus
erectus untuk membela diri mereka daripada ancaman oleh manusia lain
terutama sekalipun pada zaman manusia mulai berpuak-puak dan ingin saling
menguasai puak lain.
Berpandukan data yang termuat dalam kertas Persidangan Agung Penubuhan
Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia, (PESAKA), yang diadakan di Kuala Lumpur
pada 24 September 1983, sekarang terdapat 269 gaya seni silat di Malaysia
(tidak termasuk Sarawak) yang didukung oleh kumpulan seni silat. Johor memiliki
paling banyak gaya seni silat, iaitu 39. Yang kedua, Pahang, 37. Ketiga, Kedah,
33. Demikian juga Johor memiliki juga kumpulan silat paling banyak iaitu 85.
Kedua, Kelantan, 63. Ketiga, Pahang 53. Walaubagaimanapun, besar kemungkinan
data ini tidak tepat atau boleh diragui kerana penulis percaya ada beberapa
gaya dan kumpulan seni silat yang belum berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan
atau belum diketahui dan disenaraikan oleh Kementerian Kebudayaan dan
Pelancongan Malaysia.
BAB 2 : Silat
2.1 Asal-usul Ilmu Silat
Asal-usul Pertama
Terdapat beberapa versi cerita asal-usul seni
silat Melayu. Satu daripada versi itu ialah legenda yang dikatakan pernah
berlaku di sebuah perkampungan di Sumatera. Mengikut lagenda itu ada seorang
suri rumah pergi ke sebatang anak sungai untuk mengambil setimba air. Ketika
berada di anak sungai itu dari jauh dia ternampak seekor harimau sedang
bertarung dengan seekor burung besar. Pertarungan itu sungguh hebat dan
berlangsung beberapa lama. Kesudahannya tiada pihak yang menang dan tiada pihak
yang kalah tetapi mati kedua-duanya.
Selesai
menyaksikan pertarungan itu dia mencedok setimba air dan terus berjalan pulang.
Apabila sampai ke rumah dia dimarahi suaminya kerana disangka dia sengaja
berada lama di anak sungai untuk melakukan sesuatu yang curang. Akibat cemburu,
terjadilah pertengkaran serta pergaduhan. Si suami cuba memukul isterinya
tetapi tidak memberi sebarang kesan atau bekas kerana isterinya dapat mengelak
dan menangkis segala serangan suaminya. Lalu si suami berasa hairan dan kagum
dengan kemampuan dan keupayaan isterinya membela diri.
Lantas
dia bertanya di mana isterinya mempelajari ilmu membela diri itu. Si isteri
menerangkan dengan panjang lebar tentang apa yang disaksikannya ketika berada
di anak sungai tadi. Si suami tertarik hati dengan apa yang diceritakan oleh
isterinya dan terus meminta isterinya menunjuk ajar ilmu membela diri itu
sehingga si suami pandai. Dengan berpandukan teknik pertarungan kedua-dua
binatang tadi, si isteri pun mengajar suaminya sebagaimana yang dikehendaki. Selanjutnya
melalui si suami itulah, ilmu membela diri itu tersebar ke merata-rata sehingga
dikenali dengan nama seni silat.
Asal-usul Kedua
Perihal asal-usul seni silat bermula daripada
kaum wanita disokong pula oleh pendekar bernama Che Mud bin Che Man (meninggal
dunia pada tanggal 25 Disember 1982) dalam satu versi yang agak berlainan.
Versi ini merupakan asal-usul kedua. Menurut beliau seni silat bermula daripada
peristiwa seorang suri rumah pada suatu zaman dahulu.
Pada
suatu senja dalam sebuah perkampungan Melayu terdapat seorang suri rumah yang
sedang menjunjung sebuah bakul penuh berisi dengan makanan ketika berjalan
pulang menuju ke rumahnya. Tiba-tiba datang beberapa ekor burung yang cuba
mencuri makanan yang sedang dijunjungnya itu. Sambil mengalih-alihkan bakul
yang berisi makanan itu ke kiri, ke kanan, ke bawah dan ke atas dia juga
menggunakan tangannya untuk menepis dan kakinya untuk melangkah ke sana ke mari
supaya burung itu gagal mencuri makanannya.
Apabila sampai di rumah, dia dimarahi suaminya
kerana terlewat tambahan pula makanan yang dijunjungnya habis rosak kesemuanya.
Si isteri cuba menerangkan apa yang sebenarnya terjadi ke atas dirinya ketika
berjalan pulang tadi, tetapi tidak dipedulikan oleh si suami. Oleh yang
demikian terjadilah pertengkaran dan pergaduhan. Si suami cuba memukul si
isteri tetapi tidak berjaya. Tumbukan dan tendangan si suami dapat ditepis dan
dielakkan oleh si isteri. Kelincahan si isteri membela dirinya dengan begitu
cekap mengagumkan si suami.
Setelah
segala serangan tidak berjaya, si suami mengambil keputusan untuk bertanya
kepada si isteri pada siapa si isterinya belajar ilmu membela diri. Si isteri
menerangkan bahawa dia belajar daripada pengalaman ketika hendak menyelamatkan
makanan yang dijunjungnya tadi daripada dicuri oleh beberapa ekor burung. Oleh
kerana tertarik hati, si suami pun mempelajari teknik membela diri itu daripada
isteri sehingga si suami cekap. Melalui si suamilah teknik membela diri itu
diperturunkan kepada orang ramai sehingga sekarang dikenali dengan nama silat.
Asal-usul Ketiga
Untuk asal-usul ketiga pula, ada sesetengah
pihak berpendapat bahawa seni silat itu diasaskan oleh kaum lelaki berdasarkan
beberapa lagenda. Kononnya pada zaman dahulu terdapat seorang pemuda yang
ternampak sekuntum bunga terjatuh ke dalam sebuah anak sungai. Bunga itu
dihanyutkan oleh arus air yang deras menghala ke kaki air terjun.
Pada
hemat pemuda itu, kuntum bunga yang cantik tetapi rapuh itu akan musnah apabila
sampai ke kaki air terjun nanti. Tetapi jangkaan pemuda itu ghalat. Kuntum
bunga itu terselamat daripada kemusnahan kerana kuntum itu berjaya mematah
balik akibat ditolak oleh arus songsang yang diwujudkan oleh percikan air
terjun itu sendiri. Setiap kali kuntum bunga itu dialirkan arus menghampiri
kaki air terjun, setiap kali pula ia terselamat kerana dibanting kembali oleh
arus songsang tadi.
Daripada
peristiwa itu, pemuda itu mendapat ilham untuk mencipta kaedah membela diri
berdasarkan apa yang berlaku ke atas sekuntum bunga yang diperhatikannya dengan
penuh minat tadi. Melalui pemuda itulah berkembangnya kaedah membela diri
dengan panggilan silat.
Asal-usul Keempat
Untuk asal-usul keempat ini, terdapat pula
legenda yang sama seperti di atas tetapi berlainan versi yang termuat dam buku Silat
Melayu yang diusahakan bersama oleh Ku Ahmad Bin Ku Mustafa dan Wong Kiew
Kit. Mengikut versi itu pada abad ke-13, tiga orang adik-beradik iaitu
Burhanuddin, Shamsuddin dan Aminuddin mengembara ke arah utara kerana hendak
belajar agama baru, iaitu agama Buddha. Mereka bertiga belajar dengan seorang
guru agama yang tinggal di dalam hutan (dipercayai dalam negeri Thailand)
Suatu
pagi, Aminuddin merayau-rayau di tepi sebuah danau yang mempunyai sebuah air
terjun. Dia ternampak sekuntum bunga terjatuh ke dalam pusaran air terjun itu.
Kuntum bunga itu dilambung-lambung ke sana sini oleh riak dan gelombang yang
diwujudkan oleh air terjun itu; tetapi kelopaknya tetap tidak terjejas dan
rosak. Kejadian itu membuahkan ilham kepada Aminuddin untuk mencipta sistem
membela diri yang bercirikan lemah-lembut sebagaimana lembah-lembutnya gerakan
kuntum bunga tadi melepaskan dirinya ketika terperangkap di dalam pusaran air
terjun. Sistem membela diri yang diperkenalkan oleh Aminuddin itulah yang
sekarang ini dikenali dengan nama seni silat.
2.2 Sejarah Perkembangan Ilmu Persilatan di
Kepulauan Melayu
Penulisan mengenai
sejarah silat secara khusus tidak pernah ditemui. Malahan perkataan silat hanya
wujud selepas kurun ke-16 kerana sebelum ini ilmu persilatan hanya dikenali
sebagai ilmu berkelahi kepada ilmu hulubalang ilmu perajurit, ilmu kesaktian
atau ilmu gagah berani yang lebih difahami sebagai ilmu seni perang Melayu tradisi
yang menjadi pakaian para pahlawan atau panglima perang. Sejarah silat secara
langsung selari dengan sejarah sejarah perkembangan tamadun kerajaan Melayu
tradisi di mana angkatan pertahanan negara dianggotai oleh pahlawan dan orang
perang yang mahir silat. Kisah peperangan dan kehebatan wira dan wirawati yang
menjadi pemimpin perang memang tercatat dalam kebanyakan sastera Melayu tradisi
sama ada hikayat dan panji Melayu (Harun Mat Piah : 1980. Hal. 70-71).
Orang Melayu telah
mencipta dan mengamalkan ilmu seni bela diri atau silat sebelum kedatangan
pengaruh luar, kemudiannya menjadi penting dalam membentuk kekuatan pertahanan
kerajaan Melayu tradisi seperti kerajaan Melayu tradisi Kedah Lama, Beruas,
Langkasuka, Campa, Kamboja, Srivijaya, Majapahit, Melaka dan Pattani
(C.T.Fitzgerald : 1970. Hal. 287-310). Silat melahirkan ramai pahlawan bukan
sahaja untuk tujuan mempertahankan negara dalam konflik di rantau tetapi telah
terlibat membantu negara sekutunya. Misalnya, kerajaan Melayu Campa telah
menghantar perwira-perwiranya dalam beberapa peperangan seperti di Kalimantan,
Majapahit dan Minangkabau di Sumatera (Rahman Ismail : 2003. Hal. 16).
Senjata silat yang
berbentuk lengkap wujud sekitar 2500 tahun dahulu dengan penemuan keris tembaga
di daerah Sungai Mekong dan lukisan di candi Borobodor di Tanah Jawa. Panglima
Campa misalnya kerap mendapat tempat dan dimuliakan di kalangan raja Melayu
kerana memiliki pengetahuan silat, mahir dalam ilmu perang dan pemerintahan.
Menunjukkan bahawa silat telah lama bertapak atau kukuh dalam masyarakat
Melayu. Kerajaan Kemboja (Funan) dan Campa merupakan dua kerajaan yang berjiran
dalam kelompok dan zaman yang sama. Tetapi di abad yang sama, kerajaan Campa
yang berjiran dengan Cina kerap berperang tanpa mahu tunduk kepada Cina
(Abd.Rahman Ismail : 2003).
Silat menjadi penting dan
pernah diletakkan di bawah perlindungan istana untuk membentuk angkatan perang
raja. Raja-raja Melayu menggalakkan putera dan anak-anak pembesar mempelajari
silat dan ilmu-ilmu lain yang sehubungan dengan keperluan perang. Pendekar yang
handal diangkat mengetuai angkatan perang dan mendapat kurnia dan darjat
daripada raja. Di dalam sejarah Melayu (A. Samad Ahmad : 1996. Hal. 75)
menceritakan Sultan Muhammad Shah telah memilih seorang pegawai Campa sebagai
pegawai kanan kerana orang Campa memiliki kemahiran dalam ilmu perang atau ilmu
berkelahi dan pengetahuan dalam pemerintahan negeri.
Persilatan Melayu dan
kepahlawanannya dicatat dengan indah dan meluas di dalam karya sastera Melayu
misalnya Hikayat Hang Tuah di zaman kegemilangan Melaka (Kassim Ahmad : 1971).
Dalam masa yang sama Nagarakartagama oleh Prapanca (Siti Hawa Salleh : 1987)
mencatatkan di zaman kerajaan Majapahit di bawah pemerintahan Hayam Wuruk
dengan Patih Gajah Mada (1350-1389) mengesahkan pahlawan-pahlawan Jawa yang
termasuk di dalamnya Tameng Sari. Penjurit bernama Tameng Sari itu terbunuh
dalam
pertempuran silat menentang Hang Tuah dan
kerisnya dihadiahkan kepada Hang Tuah setelah peristiwa itu oleh Betara
Majapahit (Hikayat Hang Tuah : 1973. Hal. 136).
Pada tahun 1511 kerajaan
Melayu Melaka telah melengkapi angkatan perangnya dengan senjata api seperti
istinggar dan meriam. Alfonso de Albuquerque telah mencatatkan mengenai Perang
Melaka bahawa pahlawan Melayu yang disebutnya orang Melayu sebagai orang Islam,
“Orang Islam mula menembak orang-orang kita
dengan meriam yang diletakkan di dalam kubu dan tembakkan mereka telah
mencederakan beberapa orang. Apabila letupan senjata api yang pertama berakhir,
Alfonso de Albuquerque mengarahkan supaya tiup trompet dan dengan laungan
‘Saint James’ mereka menuju ke atas jambatan tempat pasukan itu berada.”
(Albuquerque : Caesar Timur :1995. 108)
Dalam Tuhfat Al-Nafis menggambarkan tentang peperangan atau pertempuran di
mana pahlawan menggunakan silat di samping menggunakan pelbagai bentuk dan
jenis senjata mengikut kesesuaiannya seperti berikut,
Shahdan : setelah selesai mesyuarat dan muafakat maka Yam Tuan Muda pun
menyuruh Bugis-Bugis itu memusung. Kemudian lalu disuruhnya langgar kubu
Terampak itu lalu dikeluarilah oleh orang Siak dan orang Siantan mana-mana yang
sebelah dia. Maka beramok-amoklah dan berbedil-bedil meriam lela rentakanya,
kemudian berapat bercencangkan kelewang dan pedang dan lembing, kemudian
berapat bertikamkan keris pendek, bercekak pinggang, sama seorang maka
sangatlah ramainya perang itu kerana sama-sama tidak tidur : Anak Selangor dan
Anak Siak.
(Tuhfat
Al-Nafis : 1995. Hal. 108)
Petikan Tuhfat Al-Nafis di
atas memperlihatkan suasana dalam strategi perang Melayu, ketika tempur jarak
jauh mereka menggunakan bedilan-bedilan atau tembakan meriam lela rentaka,
apabila kedua pihak semakin rapat mereka menggunakan senjata panjang seperti
lembing atau tombak untuk meradak lawannya. Apabila kedudukan lawan lebih dekat
mereka menggunakan senjata yang lebih pendek daripada lembing seperti pedang,
sundang kelewang untuk mencencang lawan. Senjata seperti keris pendek hanya
digunakan ketika lebih rapat dengan kaedah tikaman. Manakala apabila musuh
telah terlalu rapat dan senjata tidak dapat digunakan atau ketiadaan senjata,
mereka akan bertarung dengan silat atau beradu tenaga dengan mengangkat atau
membanting lawan ke tanah. Petikan tersebut memperlihatkan silat dapat
digunakan dalam berbagai keadaan sama ada untuk tujuan mempertahankan diri
hinggalah pertarungan dalam peperangan.
Dalam syair Sultan Abu
Bakar terdapat rangkap syair yang menekankan bahawa mempertahankan negara
adalah kewajipan pada setiap warganegara, mereka harus sentiasa siap siaga
mempertahankan negara digambarkan di dalam syairnya,
Telah muafakat sekalian rata
orang kenamaan habislah
rata
hadir sekelian alat
senjata
lembing tombak perisai
bergenta.
Sekelian senjata berbagai-bagai
neka
meriam senapang lela
rentaka
sekelian perahu berapil
belaka
dandang lengkomg
kenaikan peduka
Ramai berhimpun segala
orang
hadirlah sudah
kelengkapan perang
serta dengan panglima
hulubalang
riuh-rendah gong dan gendang. (Fauzi Basri :
1983)
Petikan di atas memperlihatkan sifat kemuafakatan antara rakyat jelata dan
pemimpin perang yang terdiri daripada panglima, hulubalang dan rakyat jelata
lengkap dengan berbagai aneka senjata mengikut kemahiran masing-masing termasuk
meriam, senapang lela rentaka serta riuh dengan bunyi gong gendang perang.
Walaupun tidak terdapat sebutan silat dalam petikan di atas, tetapi perkataan
panglima, hulubalang dan semangat wira negara yang ditiupkan dalam syair
tersebut menunjukkan silat terus wujud dalam masyarakat Melayu ketika itu (Siti
Aisiah Murad. 1973)
Kerajaan Melayu-Bugis misalnya menonjolkan ketokohan Raja Kecil yang telah
terlibat dalam mempertahankan beberapa perang saudara kerajaan di Tanah Melayu,
Palembang, Jambi dan Sumatera (Mohd. Yusoff Hashim. Hikayat Siak. 1992 –
121-123). Keadaan ini menjadi semakin jelas apabila orang-orang Bugis dan
Minangkabau terlibat dalam politik di negeri-negeri Melayu yang membabitkan
kerajaan Melayu Johor. Orang-orang Minangkabau yang mahir dalam persilatan dan
ilmu perang campur tangan dalam sejarah Johor khasnya mengenai perebutan takhta
antara Raja Kecil dari Siak (dikatakan Raja ini keturunan Sultan Mahmud mangkat
dijulang di Kota Tinggi, Johor). Konflik di Johor melibatkan orang-orang Bugis
yang juga mahir dalam ilmu perang serta persilatan Melayu. Nama-nama seperti
Daeng Celak, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Kemasi dan Daeng Perani
terkenal dalam sejarah Selangor dan Kedah sebelum tertewasnya Raja Haji di
Johor melawan Belanda (Asyaari Muhammad 2005).
Sejarah di atas memperlihatkan istana yang menaungi institusi silat dan
para pahlawan Melayu dan orang perang telah berubah selepas campur tangan
Belanda di Indonesia dan Inggeris di Tanah Melayu sekitar 1824 dan 1870-an.
Istana tidak lagi menaungi institusi silat dan tidak lagi mempunyai orang
perang. Pahlawan Melayu hilang daripada istana. Pahlawan orang perang telah
kembali ke pangkuan masyarakat desa bagi membentuk kekuatan bangsa meneruskan
usaha menentang penjajah. Bagaimanapun hubungan istana dengan silat masih
berterusan misalnya di arah mata angin barat Kuala Selangor terdapat gelanggang
silat bagi kerajaan Negeri Selangor ketika itu (Yusuf Hassan. 1961. Hal. 20).
Sehingga abad ke-19 pahlawan-pahlawan Melayu yang mahir dalam ilmu persilatan
terus menentang penjajah. Di Jawa, ‘Perang Diponigoro sekitar 1850an’
menunjukkan kewibawaan mereka menentang Belanda (Brain Horison. 1966). Demikian
juga dengan perang Acheh menentang Belanda memperlihatkan keperwiraan Tenku
Umar di dalam konflik tersebut, walaupun beliau sendiri terbunuh di dalam
peperangan tersebut. Di dalam sejarah Semenanjung Tanah Melayu terkenal dengan
nama-nama seperti Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Sagor, Pandak Indut, Puntum dan
lain-lain merupakan pejuang dan pahlawan Melayu dicatatkan dalam sejarah Pasir
Salak, Perak (1870an). Seterusnya nama-nama seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau
dan Tok Gajah terkenal menentang Inggeris di Semantan, Pahang dalam tahun yang
sama seperti di atas (Aruna Gopinath 1991).
Selepas penjajahan Jepun pada 1945 atau zaman komunis di Tanah Melayu
ditemukan tokoh seperti Kiai Salleh, Kiai Osman, Kiai Samsuddin, Hj. Abbas dan
sebagainya. Maknanya silat dan bangsa Melayu tidak ketandusan pemimpin yang
terus memugar dan menanam semangat cintakan tanah air dan berjuang hingga ke
titisan darah yang terakhir. Di atas hanyalah beberapa nama yang tercatat dalam
sejarah yang berjuang secara ikhlas untuk negara yang tercinta. Kehebatan
mereka mempunyai sejarah dan hubungan rapat dengan ilmu persilatan di samping ilmu-ilmu
lain yang membolehkan mereka menjadi pemimpin yang berkesan.
Mereka merupakan pahlawan secara langsung memperlihatkan silat terus wujud
hingga kurun yang ke 20. Di Semenanjung, Sabah dan Sarawak penentangan terhadap
Inggeris berterusan. Di kedua negeri telah membabitkan nasionalis tempatan,
khasnya orang-orang Melayu di Kuching dan Kota Kinabalu. Di Semenanjung Tanah
Melayu, Perang Dunia kedua antara 1940-1945, kemudiannya mencetuskan pula
‘Perang Parang Panjang’ antara orang Melayu melawan MPAJA dan cawangan Bintang
Tiga yang kebanyakannya terdiri daripada orang Cina berlaku di Johor, Selangor,
Perak dan Negeri Sembilan (Khairi Abdullah. 1974).
Sejarah memperlihatkan silat dan kepahlawanannya terus memainkan peranan
penting dalam membentuk jati diri dan semangat cintakan negara. Pahlawan Melayu
terus wujud dalam peristiwa yang menggugat bangsa dan negara.
Sepanjang pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu sailat terus dipinggirkan
dengan tidak memasukkan ilmu silat dalam pendidikan di sekolah Melayu. Silat
tidak mendapat tempat dan disusun menjadi mata pelajaran sebagaimana ilmu dan
pelajaran lain seperti senaman, tarian, nyanyian, pertukangan, lukisan, ilmu
kesihatan, ilmu bumi, sejarah, bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan kira-kira.
Penyebaran silat dalam alam pendidikan di Tanah Melayu menjadi semakin malap
apabila tidak mendapat tempat dalam kurikulum pendidikan di perguruan Melayu di
Maktab Perguruan Sultai Idris Tanjung Malim (Awang Had Saleh 1974).
Rasa kebimbangan Inggeris terhadap semangat juang Melayu akan berputik
daripada pelajaran silat. Justeru, ilmu persilatan terus menerus terpinggir
dari institusi pendidikan formal di sekolah-sekolah di Tanah Melayu. Silat
hanya memasuki alam pendidikan sekolah di Malaysia secara tidak formal atau bertaraf
ko-kurikulum selepas pembentukan Malaysia (1963) itupun melalui usaha
persatuan-persatuan silat di sekolah. Silat semakin diberi perhatian selepas
tahun 1969 iaitu setelah berlakunya peristiwa 13 Mei, tahun yang sama (Abd.
Rahman Ismail, 2003: Hal. 148).
Penglibatan pelajar di dalam silat melalui ko-kurikulum di sekolah dititik
beratkan setelah Laporan Kabinet Mengkaji Dasar Pelajaran tahun 1979
(dipengerusikan oleh Dr. Mahathir Mohamad selaku Menteri Pendidikan). Silat
menjadi aktiviti ko-kurikulum dan menjadi pilihan wajib dalam kegiatan
pergerakan beruniform. Perhatian terhadap silat ini dilanjutkan dalam latihan
guru di maktab-maktab perguruan sesudahnya. Keadaan ini diikuti dengan
penerimaan silat sebagai aktiviti persatuan di institusi-institusi pengajian
tinggi awam seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia,
Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti
Teknologi Malaysia, Universiti Putera Malaysia. Pada September 2008, silat
telah diperkenalkan di bawah Fakulti Tari di Akademi Seni Budaya dan Warisan
Kebangsaan (ASWARA).
2.3 JENIS JENIS SILAT.
Seni Silat atau Pencak Silat adalah
salah satu seni mempertahankan diri bagi bangsa Melayu atau Nusantara yang
diamalkan sejak berkurun yang lampau. Usia sesebuah ilmu atau salasilah seni
silat tidak dapat dihuraikan secara terperinci dan tepat kerana tiada
usaha-usaha untuk mengkaji dari pihak berwajib secara mendalam. Ada yang
menganggarkan seni ini sememangnya telah berusia beratus-ratus tahun dan diperturunkan
dari generasi ke sebuah generasi. Ini termasuklah adanya pengamal-pengamal seni
mempertahankan diri ini dari aliran Silat di Malaysia, Filipina, Brunei,
Indonesia, dan Thailand. Di Malaysia sahaja telah wujud beratus-ratus tahun
yang lampau dan mempunyai pelbagai cara seperti menggunakan senjata atau tanpa
menggunakan senjata. Bagi silat yang menggunakan senjata. Senjata-senjata
Melayu lama yang sering digunakan seperti keris, badik, kerambit, parang,
pedang, lading, Tumbuk Lada, tekpi, tongkat, tembong dan sundang. Bagi silat
yang tanpa menggunakan senjata, pengajaran akan menumpukan perhatian kepada
pertempuran tangan kosong (tanpa senjata).
Silat terbahagi kepada silat yang
menjurus kepada seni atau bunga dan buah pukul atau kedua-duanya sekali (seni
dan buah pukul). Namun begitu kebanyakan jurulatih mengajarkan kedua-duanya
sekali. Silat seni seperti silat pulut biasanya dipersembahkan pada majlis
rasmi dan majlis keramaian seperti majlis perkahwinan manakala silat dari jenis
buah pukul atau seni tempur pula lebih banyak disorokkan dari pandangan ramai
atas dasar-dasar memelihara seni permainan dan beberapa alasan yang lain. Silat
sehingga kini sudah banyak yang dipecahkan aliranya, seperti mana pecahnya
silat Gayung (Gayung Laksamana, Gayung Laksamana Pahang dan lalin-lain lagi).
Di Malaysia sahaja terdapat hampir 500 Perguruan Silat yang telah dapat
dikesan.
Terdapat juga pendapat yang mengatakan
bahawa silat kini semakin tidak mendapat sambutan dari golongan pemerintah yang
sepatutnya memelihara seni ini dengan alasan, banyak ajaran sesat yang terdapat
dalam silat. Mengikut cerita orang dulu-dulu, Melayu menang pada peristiwa 13
Mei kerana silat, silat menjadikan seseorang melayu itu berani, kerana
mengandungi unsur-unsur mistik dan tahyul. Sejauh mana kebenaran itu tidak
dapat dipastikan kerana tiada kajian mendalam dilakukan. Apa yang pasti Silat
akan terus menjadi warisan dan lambang jadi diri melayu sedunia.
2.4 PANTANG LARANG DALAM SILAT.
1. Tidak boleh menderhaka kepada guru.
2. Tidak boleh menderhaka kepada ibu.
3. Tidak boleh menderhaka kepada bapa.
4. Tidak boleh mencaci silat-silat Melayu asli yang lain
5. Tidak boleh bergaduh semasa ahli silat
Jelas di sini, pantang larang yang terdapat di dalam
silat ini ialah untuk mendidik rohani supaya mengenang budi kepada guru yang
membuka mata, hati dan fikiran untuk mengenal antara yang baik dan buruk (untuk
rohani), dan mentaati kepada kedua ibu bapa yang telah banyak berjasa
memelihara dan kerana mereka manusia dapat lahir di dunia.
Juga, untuk mewujudkan perpaduan di kalangan ahli-ahlinya
dan masyarakat kerana penuntut-penuntut silat dilarang bergaduh sesama sendiri,
kerana di zaman dahulu yang khianat ialah rakan seperjuangan.
Umpamanya Hang Tuah sanggup membunuh Hang Jebat, kawan
seperjuangannya. Silat tidak mahu perkara ini berlaku di kalangan ahli-ahlinya.
Apabila sudah menjadi ahli Silat, mereka sudah dianggap seperti adik-beradik.
Sama-sama berusaha menaikkan nama silat.
Pantang larang ini juga tidak menimbulkan rasa ketakutan
kepada mereka yang ingin mempelajarinya. Malah dapat menginsafi belia-belia
bahawa mengenang budi kepada guru dan ibubapa adalah wajib sekali. Tidak ada
larangan untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang maksiat kerana dari fahaman
Silat Hanafi, ini hanya cabang-cabang dari kekuatan iman seseorang itu.
Bila seseorang itu sudah melatih dirinya mentaati guru
dan ibubapanya, maka peribadinya dan jiwanya akan baik dan bersih. Bila rohnya
bersih maka senanglah ia menghadapi Tuhan yang Esa dan dengan sendirinya dapat
menjauhkan dirinya dari melakukan perbuatan-perbuatan maksiat.
2.5 ETIKA PAKAIAN SILAT.
Pakaian bagi lelaki melayu pada zaman tradisi dikenali
sebagai baju Melayu. Baju Melayu yang lengkap turut menjadi pakaian
pahlawan-pahlawan Melayu pada zaman silam secara tidak langsung menjadi pakaian
silat. Petikan talibun ini menggambarkan pakaian lengkap lelaki Melayu.
Yang disebut pakian lengkap
Pertama memakai destar
Kedua bercekak musang
Ketiga berkain samping
Keempat berseluar labuh
Kelima berkeris
Keenam berselempang
Ketujuh bengkung berpending
Kelapan berkasut kaki
Kesembilan berkambil sirih
Kesepuluh bergelang berdokoh
Kesebelas bercincin
Kedua belas bersapu tangan.
Ungkapan talibun ini menggambarkan pakian lengkap lelaki
Melayu pada zaman tradisi. Keris sebagai satu unsur dalam pakian lengkap lelaki
Melayu menggambarkan kepentingan ilmu beta diri bagi orang lelaki. Kewujudan
keris pada seorang lelaki pada zaman tradisi bukanlah sebagai symbol tetapi
digunakan sebagai senjata apabila diperlukan. Keadaan ini menggambarkan baju
Melayu merupakan pakaian yang sesuai untuk bersilat malah pakian Melayu
dianggap tidak lengkap jika tidak disertakan dengan senjata. Kepentingan
senjata pada seseorang menggambarkan kepentingan ilmu seni silat bagi seorang lelaki
Melayu pada zaman tradisi.
Pada zaman tradisi, keluar berjalan tanpa senjata umpama
persiapan yang kurang lengkap. Walau ke mana seorang lelaki itu pergi, keris
tetap dibawa., Cuma cara memakainya tidak sama, iaitu bergantung pada tempat
yang dikunjungi. Misalnya jika hendak ke masjid, alat-alat seperti bengkung
berpending, gelang, cincin, dan sape tangan tidak perlu dipakai, tetapi keris
tetap dipakai secara tersembunyi.
Kalau berbaju Teluk Belanga
Kain diikat dagang luar
Kepala berkopiah sahaja
Kain labuh samping ke keting
Kaki seluar bayang bayangan
Keris dipinggang tidak Nampak
Itu pakaian ke masjid
Atau bertandang ke sanak saudara
Petikan ini menunjukkan kedudukan keris dipinggang, iaitu
tidak kelihatan atau disorokkan dengan tujuan pemakainya untuk pergi ke masjid
atau menziarahi sanak saudara. Berlainan pula cara berpakaian untuk upacara
rasmi di istana atau pakaian orang-orang berpangkat, keris disisipkan di
sebelah kiri serta dibiarkan pada kedudukan yang boleh dilihat orang. Kehadiran
keris bukan sahaja sebagai senjata tetapi untuk menambahkan kesegakan perawakan
seseorang lelaki. Senjata dianggap sebagai kawan dan pemiliknya perlu
mengetahui ilmu seni silat agar tidak membahayakan diri. Tanpa kepandaian
bersilat, musuh dengan mudah merampas senjata dan digunakan untuk menikam
pemakai senjata tersebut.
Kalau memakai Cekak Musang
Kain diikat dagang dalam
Kain labuh dibawah lutut
Pinggang memakai bengkung lebar
Keris terpampang sebelah kiri
Kepala memakai destar
Seluar labuh sampai keting
Itu pakaian raja-raja
Atau datuk dan panglima
Atau orang patut-patut
Atau orang berbangsa
Yang duduk dihelat jamu
Atau majlis dibalai besar.
Kedudukan keris menggambarkan status sosial pemakainya.
Contohnya, memakai kereis di belah kiri pinggang menggambarkan pemakainya
daripada golongan bangsawan.
Kalau memakai keris
Keris tersisip sebelah kiri
Keris beradat berlembaga
Kalau memakai keris terlentang
Itu tanda mencari lawan
Bagai ayam kokok berdentang
Bagai dubalang masuk gelanggang
Elok dipakai dalam hutan
Atau belayar tengah lautan
Untuk menjagaa-jaga diri
Kalau keris sampir terlangkup
Keris tidak mencari lawan
Yang dipakai dalam jamuan
Yang di pakai pergi bertandang.
Petikan talibun ini menggambarkan pada zaman tradisi,
cara memakai keris di pinggang bukanlah semata-mata sebagai symbol atau
isyarat, tetapi untuk kepentingan penggunanya. Misalnya, jika memakai keris
terlentang bermakna si pemakai ingin mencari lawan. Keris yang terlentang
senang dipegang dan dihunuskan untuk menikam. Keris terlangkup bermakna, keris
tersebut belum bersedia digunakan dan dipakai sekiranya keadaan di sekeliling
tidak mencurigakan. Pengarang Hikayat Hang Tuah menggambarkan, Hang Tuah
sentiasa mengubah kedudukan kerisnya apabila keadaan memerlukan dia berwaspada.
“Maka Laksamana pun meniarap pada kaki raja seraya
memakai dihadapan raja: pertama dipakainya seluar beledu hijau sampai ke
lututnya, sudah itu maka berkain hijau
digangsi yang bertepis emas dipahat bersirat, diragam dan diikat pinggang
khalifah tujuh belit bersurat ayat Quran dan berbaju kesumba murup bersurat doa
besar-besar dan memakai keris Parong Sari. Maka mastol pemberian Sheikh Mansor
itu dipakainya” (Hikayat Hang Tuah, 1973).
Petikan ini menunjukkan “pakian yang indah” pemberian
raja itu terdiri daripada seluar paras lutut, samping (kain hijau), bengkung
(ikat pinggang), baju, keris, dan tengkolok atau mastul. Mastul merupakan ikat
kepala atau destar yang ringkas. Oleh sebab pakaian ini digunakan untuk
pertarungan, terdapat beberapa ciri fizikal dan spiritual dilakukan sebagai
persiapan untuk membantu pemakainya mencapai kemenagan. Antaranya seluar
singkat paras lutut untuk memudahkan pergerakan, ikat pinggang yang sepanjang tujuh
belit boleh menjadi perisai daripada tusukan keris lawan, ayat al-Quran yang
ditulis dibengkung sebagai azimat , mastul pemberian daripada guru yang keramat
dan keris dipakai di hadapan menunjukkan pemakai mencari lawan dan mudah untuk
dicabut dari sarungnya. Keadaan ini menggambarkan pada zaman dahulu baju Melayu
memang direka untuk pakian pahlawan dan secara tidak langsung baju Melayu
memang sesuai dipakai untuk bersilat. Hikayat
Awang Sulung Merah Muda turut menggambarkan pakaian Awang Sulung seperti
berikut:
Seluar panjut panjang kaki,
Meratus cermin dikaki,
Bajunya baldu ainul-banat,
Dicabik sikit dijerumat,
Harganya lima keti juga,
Dikena ikat pinggangnya
Anak cindai,anak serasah;
Kainnya kain Bugis Kembayat,
Bukan Kembayat zaman ini ,
Kembayat zaman dahulu
Tengkolok kamponh pelangi,
Bukan pelangi zaman ini,
Pelangi zaman dahulu,
Kerisnya sempena ganja iras,
Sebulan dagang mengalas,
Jejak ditikam mati juga,
Pedang Jenawi lantai balai.,
Diyam didalam cembol gading,
Minyak bernama silompat pagar,
Sebulan dagang menggalas,
Baunya ada tercium juga.
(Hikayat Awang Sulung Merah Muda. 1995)
Bab
3 : Komponen Persilatan Melayu
3.1 Komponen yang Terdapat
di dalam Ilmu Silat
Segala inti pati yang terdapat di dalam ilmu silat
mengandungi ciri-ciri keterampilan yang secara umumnya dikenali di seluruh
Nusantara. Terdapat dua komponen yang saling berkaitan dalam ilmu persilatan
iaitu komponen fizikal dan komponen kerohanian/kebatinan. Komponen fizikal
mengetengahkan aspek-aspek gerakan yang diistilahkan sebagai bunga dan buah.
Bunga ataupun tari merupakan gerak asas dan landasan utama dalam memulakan
pembelajaran silat. Gerak langkah bunga tersebut mengandungi ciri budaya
Melayu/Nusantara yang menekankan aspek kesenian adab dan tertib sebelum maju ke
peringkat buah.
Selain itu, ilmu persilatan yang menggunakan wirid,
hizib, doa, dan yang sejenis dengannya adalah berasal dari ajaran Islam yang
benar. Sebaliknya tidak dapat dinafikan terdapat juga yang menggunakan mantera,
jampi, serapah, dan yang sejenis dengannya. Mengenai ini sukar dijejaki
sumber-sumber asal hingga ke atasnya. Oleh itu, ada yang boleh diamal dan
digunakan. Sebaliknya ada pula yang mengandungi unsur khurafat yang menjerumuskan
ke arah syirik yang bertentangan dengan akidah Islam (Abdullah, 2009)
3.2 Unsur Agama dalam Persilatan
Dalam
konteks masyarakat Melayu, tradisi pembelajaran silat bertindih dengan sfera
agama Islam. Pertindihan antara seni bela diri dengan institusi agama bukan
sahaja wujud dalam masyarakat Melayu, malah hal ini juga berlaku di dalam
masyarakat lain. Misalnya dalam masyarakat Cina, seni bela diri kung fu
berkaitan rapat dengan candi Shaolin dan Tau.
3.3 Peranan
Institusi Persilatan Melayu
Istilah “Silat” sudah tidak asing lagi dalam masyarakat
Melayu Nusantara khususnya di Malaysia. Menyedari akan hal ini, fungsi ataupun
peranan institusi persilatan Melayu merupakan salah satu faktor penggerak
kesinambungan ciri-ciri dan nilai-nilai budaya yang ada di dalam tamadun
Melayu. Alam persilatan Melayu amat sinonim sebagai alat pelantar perhubungan
yang mengikat jalinan sosial dan memberi satu ikatan emosi dalam satu pakatan
ilmu. Dalam mempelajari silat, setiap individu perlu berinteraksi dengan rakan
sebaya dan pengajar atau ‘guru’. Malah rakan sebaya adalah pelantar sosial yang
terpenting dalam pembelajaran silat. Interaksi di peringkat ini dikawal oleh
struktur hubungan sosial tiga penjuru yang padat dengan peraturan dan adab
antara guru dan murid, antara murid dan murid(rakan sebaya), antara guru dan
kumpulan sebaya(seperguran). Hubungan antara rakan sebaya yang melalui
pembelajaran di bawah satu perguruan amat penting dalam organisasi sosial
masyarakat Melayu dan berkemampuan menjadi pembentukan sosial formal yang
menyerupai ‘kumpulan sosial’ (Stunashima, 2004).
Bab 4 : Perspektif Mahasiswa/wi KUIS terhadap Ilmu
Persilatan Melayu
Setelah
menemu ramah beberapa mahasiswa/wi Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
(KUIS) dapat disimpulkan bahawa dalam ilmu persilatan ini memang benar
mengamalkan ilmu kebatinan ketika bersilat. Pesilat dan ilmu batin tidak dapat
dipisahkan. Akan tetapi ilmu kebatinan terbahagi kepada dua. Yang pertama, ilmu
batin yang berteraskan al-Quran, zikir dan selawat dan seterusnya ilmu batin
yang mensyirikkan Allah S.W.T. Kita sebagai orang biasa tidak boleh terus serkap
jarang terhadap para pesilat kerana tujuan asal silat dibuat adalah untuk
mendidik rohani supaya mentaati perintah Allah di samping membela diri jika
diserang musuh. Tambahan pula, kebanyakan tok guru silat mempunyai latar
belakang agama yang sangat baik. Tok guru akan memberikan amalan-amalan yang
berguna kepada anak-anak muridnya supaya dengan amalan itu mampu mendidik
rohani anak-anak muridnya agar meletakkan segala pengharapan kepada Allah bukan
bersandarkan kepada kemahiran dan handalnya seorang pesilat itu.
Walau bagaimanapun, timbul persoalan
dalam kalangan masyarakat tentang para pesilat bahawa kebanyakan daripada
mereka setelah tamat pengajian sebagai seorang pesilat, bukan ingin berbakti
kepada masyarakat akan tetapi lebih memilih untuk menjadi ‘pailang’ atau
menyertai kumpulan gangster untuk menunjukkan kehebatan diri. Perkara ini
sungguh memalukan bagi para pesilat kerana ilmu silat yang diajar amat mendidik
penuntutnya supaya sentiasa merendah diri dan tidak sesekali menunjukkan kehebatan
ataupun mengeluarkan ‘bunga’ atau ‘buah’ kecuali dalam keadaan terdesak.
Disebabkan masalah ini jugalah,
silat semakin dilupakan dalam kalangan masyarakat Melayu di Malaysia. Kekangan
daripada ibubapa yang melarang anak-anak mereka untuk menyertai silat merupakan
antara salah satu faktor kurangnya penyertaan anak-anak muda dalam silat. Ini
kerana mereka tidak mahu melihat anak-anak mereka sendiri terjebak dalam
ilmu-ilmu syirik dan khurafat. ‘Mencegah lebih baik daripada mengubati’.
Silat lebih terkebelakang berbanding
ilmu mempertahankan diri yang lain? Tidak. Silat masih lagi mendapat tempat
yang sangat baik di mata masyarakat Malaysia. Mungkin kita lihat silat hanya
sekadar di ko-kurikulum sekolah semata-mata, tetapi yakin dan percayalah bahawa
silat yang diterapkan dalam ko-kurikulum sekolah hanya menekankan silat
olahraga yang lebih tertumpu untuk pertandingan semata-mata dan jarang sekali diajar
ilmu persilatan ini ketika untuk bertempur. Begitulah uniknya ilmu persilatan
Melayu Nusantara ini. Seseorang yang ingin belajar lebih atau mendalami ilmu
persilatan ini hendaklah dia mencarinya di luar kawasan persekolahan.
Selepas kedatangan Inggeris di Tanah
Melayu, silat tidak lagi dinaungi oleh istana dan para panglima perang pulang
ke kampung halaman masing-masing untuk meneruskan pembelajaran tradisi silat
ini di kampung-kampung. Disebabkan itu jugalah, seperti yang kita ketahui
kebanyakan silat yang ada sekarang banyak terdapat di pedalaman-pedalaman
kampung akibat daripada kesan penjajah dahulu. Walau bagaimanapun, perkara
tersebut tidak sesekali melemahkan semangat orang Melayu untuk terus
mempelajari ilmu silat ini.
Yang
penting ialah seseorang penuntut ilmu silat itu mestilah pandai memilih guru
silat yang ingin dipelajari. Takut-takut ilmu yang diajar bertentangan dengan
syariat yang diperintahkan oleh Allah S.W.T dan nabi Muhammad S.A.W. Kita
sebagai orang Melayu yang sentiasa mendukung institusi persilatan Melayu ini
haruslah bersemangat dan tidak sesekali luntur semangat untuk terus menyelami
dan mempelajari ilmu persilatan Melayu Nusantara ini.
Apabila menemu ramah mereka
(pengamal silat), mereka amat berharap bahawa silat ini mendapat penyertaan
yang sangat baik daripada anak-anak muda khususnya kerana anak-anak muda atau
generasi ‘Y’ ini merupakan pewaris kepada ilmu silat ini dan kebudayaan tradisi
Melayu yang lain. Kita tidak mahu silat ini menjadi seperti mamut (seekor gajah
berbulu di kutub utara) yang pupus disebabkan tiada pewaris yng meneruskan
kelangsungan spesis mereka. Begitu jualah silat. Ayuh sama-sama kita
memartabatkan silat ini di tempat yang paling tinggi dan menjadikan ia sebagai
salah satu pelajaran yang wajib dipelajari oleh orang Melayu khususnya tidak
kira muda mahupun yang tua. Majulah silat untuk negara.
Penutup
Sebagai
kesimpulannya, belum ada kumpulan fakta yang tersedia untuk menggambarkan
sejarah Seni Silat Melayu dengan jelas. Walau bagaimanapun, masih boleh dibuat
satu susur galur berdasarkan beberapa fakta dan hipotesis aspek-aspek Seni
Silat Melayu dan sejarahnya. Pertamanya, amat besar kemungkinan seni silat
merupakan seni bela diri hasil ciptaan orang Melayu dan bukannya ditiru
daripada bangsa lain. Hal ini berdasarkan perhitungan bahawa seni silat
mempunyai ciri-ciri yang tersendiri yang amat berbeza daripada seni
mempertahankan diri bangsa lain. Jika dianalisis legenda yang dibicarakan di
atas jelaslah dalam legenda tersebut masih ada kelemahan dan kekaburan untuk
diakur sebagai rujukan atau indeks yang konkrit lagi ilmiah tentang genesis seni
silat Melayu. Cuma daripada legenda itu dapatlah kita simpulkan kefahaman awal
tentang teori dan prinsip yang diterapkan ke dalam ilmu persilatan Melayu.
Apabila dikaitkan secara logik
dengan kaum perempuan yang dapat mengalahkan kaum lelaki untuk menjelaskan bahawa
prinsip lemah-lembut dalam seni silat Melayu, maka kaitan itu bukanlah negatif.
Sebaliknya, prinsip lemah-lembut itu mampu menundukkan mereka yang lebih
perkasa. Begitu juga halnya jika dikaitkan secara logik dengan sekuntum bunga
yang berjaya menyelamatkan kelopaknya daripada dimusnahkan oleh air terjun
untuk menerangkan bahawa seni silat Melayu itu mengandungi unsur estetika yang
kukuh dan unsur strategi. Selanjutnya sungguhpun asal-usul seni silat tidak
dapat dibuktikan secara ilmiah, namun sejarah ringkas seni silat dapat juga
diaju dan dikemukakan berpandukan tinggalan zaman dan aliran sejarah walaupun
secara kasar dan terbatas.
Mudah-mudahan dengan sedikit kajian
ini mampu memberikan sedikit pengetahuan kepada sidang pembaca amnya dan
khasnya mahasiswa/wi KUIS terhadap warisan nenek moyang kita dahulu iaitu ilmu
mempertahankan diri silat di samping memberi sedikit semangat dan motivasi
kepada anak-anak muda agar terus aktif bersilat supaya budaya silat ini terus
bugar di mata masyarakat Melayu khususnya dan amnya seluruh rakyat Malaysia.
Bibliografi
gayongmalaysia.wordpress.com/sejarah/
panjisuryanata.blogspot.com/2013/02/asal-usul-pencak-silat.html
Pencak
Silat Seni Bela Diri Indonesia Jilid 1, Pulau Madura Jawa Bali : George F. De
Groot, Dr. Notosoejitno; 2004.
persatuanpancaindrasenisilatlintaumalaysia.wordpress.com/2011/02/16/asal-usul-silat
Seni
Silat Sendeng Sejarah dan Kurikulum Pembelajaran, Kamdi Kamil, Yayasan Warisan
Johor, 2009.
Seni
Silat Melayu : Sejarah, Perkembangan dan Budaya, Abd. Rahman Ismail, Dewan
Bahasa dan Pustaka; 2008.
writerdruid.wordpress.com/2009/10/27sejarah-silat-melayu/
www.silatlincah.com.my/sejarah_persilatan.html
Assalamualaikum.Maaf, boleh saya minta salinan penuh kajian encik?
ReplyDeleteatau contact saya di 01115100894