Silat Warisan Tamadun Melayu




Abstrak

            Tujuan pembangunan kajian ini adalah untuk mengenal pasti sejauh mana pengetahuan pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) terhadap ilmu persilatan Melayu Nusantara dan perspektif mereka terhadap tradisi Melayu ini. Tajuk kajian ini ialah silat dan perspektif mahasiswa/wi Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Ini kerana KUIS sekarang ini masih belum menjalankan kajian yang terperinci terhadap ilmu persilatan ini daripada aspek asal-usul, sejarah, etika pemakaian bagi para pesilat dan sebagainya. Ilmu persilatan sekarang ini tidak lagi dipandang tinggi oleh sebahagian masyarakat Melayu kerana semakin hari ianya semakin ditelan zaman. Walaubagaimanapun, banyak sekali ilmu persilatan yang diamalkan sekarang dan mendapat tempat yang sangat tinggi dalam kalangan masyarakat akan tetapi persoalan yang timbul adakah ilmu silat yang diajar itu benar-benar asli mengikut syariat Islam. Asal kepada tertubuhnya seni mempertahankan diri ini bukan sahaja untuk mempertahankan diri akan tetapi untuk mendekatkan diri pesilat itu kepada Allah, Tuhan yang Satu. Objektif kajian ini adalah supaya mahasiswa/wi mengetahui sekurang-kurangnya apakah itu ilmu persilatan tradisi Melayu ini di samping mempromosi silat dalam kalangan mahasiswa/wi itu sendiri. Kajian ini akan melalui peringkat temu bual daripada mahasiswa/wi KUIS bagi mendapatkan maklumat yang dikehendaki. Pengkaji menjangkakan bahawa mahasiswa/wi KUIS akan lebih bersemangat untuk menyertai ilmu silat yang terdapat di dalam KUIS ini di samping meyumbang kepada pembangunan sahsiah yang baik dalam persekitaran KUIS.
           





SENARAI KANDUNGAN                                                                                             M/S

Abstrak                                                                                                                     2

BAB 1:  Pengenalan                                                                                                            4
                                                                                              
BAB 2: Silat
2.1       Asal-usul Ilmu Persilatan                                                                    5                     
2.2        Sejarah Perkembangan Ilmu Persilatan di Kepulauan Melayu           7         
2.3              Jenis-jenis Silat                                                                                    12
2.4              Pantang-larang Dalam Ilmu Silat                                                        13
2.5              Etika Pemakaian dalam Ilmu Silat                                                      14                   

BAB 3: Komponen Persilatan Melayu

            3.1       Komponen yang Terdapat dalam Ilmu Persilatan                               18
            3.2       Unsur Agama Dalam Persilatan                                                          18
            3.3       Peranan Institusi Persilatan Melayu                                                    18


BAB 4: Perspektif Mahasiswa/wi KUIS terhadap Ilmu Persilatan Melayu        19


PENUTUP                                                                                                                21

BIBLIOGRAFI                                                                                                         22

LAMPIRAN                                                                                                             23









Bab 1    :   Pengenalan

SENI Silat Melayu adalah sejenis ilmu membela diri yang diakui umum sebagai hak asli kepunyaan Melayu. Seni silat ini bukan sahaja mengutamakan unsur persilatan malah mementingkan unsur kesenian dan peradaban Melayu sebagai pelengkap yang tidak dapat dipisahkan. Melayu yang dimaksudkan dalam buku ini bukan sekadar dalam konteks Melayu di Malaysia sahaja malah meliputi dunia Melayu yang lebih luas yang termasuk dalam lingkungan disiplin sejarah dan linguistik. D.J.M. Tate menerangkan bahawa perkataan Melayu boleh dirujuk kepda orang Melayu sebagai satu kaum yang khusus, orang yang bertutur dalam bahasa Melayu dan orang di suatu kawasan yang mempunyai sifat asas keturunan Melayu yang sama. Justeru itu dari segi disiplin sejarah, Melayu dirujuk kepada penduduk Kepulauan Melayu yang meliputi Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Filipina dan beberapa buah pulau kecil yang berdekatan dengan negara tersebut. Dari segi linguistik pula, C.A. Mees menjelaskan perkataan Melayu dirujuk kepada kawasan Lautan Teduh iaitu dari Easter Island di sebelah timur ke pulau Madgaskar di sebelah barat. Oleh demikian luasnya alam Melayu, maka seni bela diri orang Melayu dikenali dengan berbagai-bagai nama dan panggilan mengikut bahasa dan loghat tempatan. Sebagai contoh, di Indonesi seni bela diri dikenali dengan panggilan pencak silat tetapi di Malaysia seni ini dikenali sebagai seni silat ataupun bersilat.

Tidak dapat disangkal, secara semula jadi manusia mempunyai deria untuk membela dirinya tanpa mengira sama ada dia pakar atau bukan pakar dalam ilmu persilatan. Apabila diserang dia tetap akan bertindak balas sama ada secara seni ataupun secara semula jadi. Kenyataan ini membayangkan bahawa ilmu membela diri lama wujud bersama-sama kewujudan awal kebudayaan manusia dalam sejarah. Semenjak zaman Paleolitik lagi iaitu lebih kurang 15000 sebelum Masihi, ilmu membela diri digunakan oleh manusia purba yang dikenali dengan panggilan Phithecanthropus erectus untuk membela diri mereka daripada ancaman oleh manusia lain terutama sekalipun pada zaman manusia mulai berpuak-puak dan ingin saling menguasai puak lain.

Berpandukan data yang termuat dalam kertas Persidangan Agung Penubuhan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia, (PESAKA), yang diadakan di Kuala Lumpur pada 24 September 1983, sekarang terdapat 269 gaya seni silat di Malaysia (tidak termasuk Sarawak) yang didukung oleh kumpulan seni silat. Johor memiliki paling banyak gaya seni silat, iaitu 39. Yang kedua, Pahang, 37. Ketiga, Kedah, 33. Demikian juga Johor memiliki juga kumpulan silat paling banyak iaitu 85. Kedua, Kelantan, 63. Ketiga, Pahang 53. Walaubagaimanapun, besar kemungkinan data ini tidak tepat atau boleh diragui kerana penulis percaya ada beberapa gaya dan kumpulan seni silat yang belum berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan atau belum diketahui dan disenaraikan oleh Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia.








BAB 2  :  Silat

2.1       Asal-usul Ilmu Silat

Asal-usul Pertama

Terdapat beberapa versi cerita asal-usul seni silat Melayu. Satu daripada versi itu ialah legenda yang dikatakan pernah berlaku di sebuah perkampungan di Sumatera. Mengikut lagenda itu ada seorang suri rumah pergi ke sebatang anak sungai untuk mengambil setimba air. Ketika berada di anak sungai itu dari jauh dia ternampak seekor harimau sedang bertarung dengan seekor burung besar. Pertarungan itu sungguh hebat dan berlangsung beberapa lama. Kesudahannya tiada pihak yang menang dan tiada pihak yang kalah tetapi mati kedua-duanya.
           
            Selesai menyaksikan pertarungan itu dia mencedok setimba air dan terus berjalan pulang. Apabila sampai ke rumah dia dimarahi suaminya kerana disangka dia sengaja berada lama di anak sungai untuk melakukan sesuatu yang curang. Akibat cemburu, terjadilah pertengkaran serta pergaduhan. Si suami cuba memukul isterinya tetapi tidak memberi sebarang kesan atau bekas kerana isterinya dapat mengelak dan menangkis segala serangan suaminya. Lalu si suami berasa hairan dan kagum dengan kemampuan dan keupayaan isterinya membela diri.

            Lantas dia bertanya di mana isterinya mempelajari ilmu membela diri itu. Si isteri menerangkan dengan panjang lebar tentang apa yang disaksikannya ketika berada di anak sungai tadi. Si suami tertarik hati dengan apa yang diceritakan oleh isterinya dan terus meminta isterinya menunjuk ajar ilmu membela diri itu sehingga si suami pandai. Dengan berpandukan teknik pertarungan kedua-dua binatang tadi, si isteri pun mengajar suaminya sebagaimana yang dikehendaki. Selanjutnya melalui si suami itulah, ilmu membela diri itu tersebar ke merata-rata sehingga dikenali dengan nama seni silat.



Asal-usul Kedua

Perihal asal-usul seni silat bermula daripada kaum wanita disokong pula oleh pendekar bernama Che Mud bin Che Man (meninggal dunia pada tanggal 25 Disember 1982) dalam satu versi yang agak berlainan. Versi ini merupakan asal-usul kedua. Menurut beliau seni silat bermula daripada peristiwa seorang suri rumah pada suatu zaman dahulu.

            Pada suatu senja dalam sebuah perkampungan Melayu terdapat seorang suri rumah yang sedang menjunjung sebuah bakul penuh berisi dengan makanan ketika berjalan pulang menuju ke rumahnya. Tiba-tiba datang beberapa ekor burung yang cuba mencuri makanan yang sedang dijunjungnya itu. Sambil mengalih-alihkan bakul yang berisi makanan itu ke kiri, ke kanan, ke bawah dan ke atas dia juga menggunakan tangannya untuk menepis dan kakinya untuk melangkah ke sana ke mari supaya burung itu gagal mencuri makanannya.


             Apabila sampai di rumah, dia dimarahi suaminya kerana terlewat tambahan pula makanan yang dijunjungnya habis rosak kesemuanya. Si isteri cuba menerangkan apa yang sebenarnya terjadi ke atas dirinya ketika berjalan pulang tadi, tetapi tidak dipedulikan oleh si suami. Oleh yang demikian terjadilah pertengkaran dan pergaduhan. Si suami cuba memukul si isteri tetapi tidak berjaya. Tumbukan dan tendangan si suami dapat ditepis dan dielakkan oleh si isteri. Kelincahan si isteri membela dirinya dengan begitu cekap mengagumkan si suami.

            Setelah segala serangan tidak berjaya, si suami mengambil keputusan untuk bertanya kepada si isteri pada siapa si isterinya belajar ilmu membela diri. Si isteri menerangkan bahawa dia belajar daripada pengalaman ketika hendak menyelamatkan makanan yang dijunjungnya tadi daripada dicuri oleh beberapa ekor burung. Oleh kerana tertarik hati, si suami pun mempelajari teknik membela diri itu daripada isteri sehingga si suami cekap. Melalui si suamilah teknik membela diri itu diperturunkan kepada orang ramai sehingga sekarang dikenali dengan nama silat.



Asal-usul Ketiga

Untuk asal-usul ketiga pula, ada sesetengah pihak berpendapat bahawa seni silat itu diasaskan oleh kaum lelaki berdasarkan beberapa lagenda. Kononnya pada zaman dahulu terdapat seorang pemuda yang ternampak sekuntum bunga terjatuh ke dalam sebuah anak sungai. Bunga itu dihanyutkan oleh arus air yang deras menghala ke kaki air terjun.

            Pada hemat pemuda itu, kuntum bunga yang cantik tetapi rapuh itu akan musnah apabila sampai ke kaki air terjun nanti. Tetapi jangkaan pemuda itu ghalat. Kuntum bunga itu terselamat daripada kemusnahan kerana kuntum itu berjaya mematah balik akibat ditolak oleh arus songsang yang diwujudkan oleh percikan air terjun itu sendiri. Setiap kali kuntum bunga itu dialirkan arus menghampiri kaki air terjun, setiap kali pula ia terselamat kerana dibanting kembali oleh arus songsang tadi.

            Daripada peristiwa itu, pemuda itu mendapat ilham untuk mencipta kaedah membela diri berdasarkan apa yang berlaku ke atas sekuntum bunga yang diperhatikannya dengan penuh minat tadi. Melalui pemuda itulah berkembangnya kaedah membela diri dengan panggilan silat.







Asal-usul Keempat

Untuk asal-usul keempat ini, terdapat pula legenda yang sama seperti di atas tetapi berlainan versi yang termuat dam buku Silat Melayu yang diusahakan bersama oleh Ku Ahmad Bin Ku Mustafa dan Wong Kiew Kit. Mengikut versi itu pada abad ke-13, tiga orang adik-beradik iaitu Burhanuddin, Shamsuddin dan Aminuddin mengembara ke arah utara kerana hendak belajar agama baru, iaitu agama Buddha. Mereka bertiga belajar dengan seorang guru agama yang tinggal di dalam hutan (dipercayai dalam negeri Thailand)


            Suatu pagi, Aminuddin merayau-rayau di tepi sebuah danau yang mempunyai sebuah air terjun. Dia ternampak sekuntum bunga terjatuh ke dalam pusaran air terjun itu. Kuntum bunga itu dilambung-lambung ke sana sini oleh riak dan gelombang yang diwujudkan oleh air terjun itu; tetapi kelopaknya tetap tidak terjejas dan rosak. Kejadian itu membuahkan ilham kepada Aminuddin untuk mencipta sistem membela diri yang bercirikan lemah-lembut sebagaimana lembah-lembutnya gerakan kuntum bunga tadi melepaskan dirinya ketika terperangkap di dalam pusaran air terjun. Sistem membela diri yang diperkenalkan oleh Aminuddin itulah yang sekarang ini dikenali dengan nama seni silat.

2.2      Sejarah Perkembangan Ilmu Persilatan di Kepulauan Melayu

Penulisan mengenai sejarah silat secara khusus tidak pernah ditemui. Malahan perkataan silat hanya wujud selepas kurun ke-16 kerana sebelum ini ilmu persilatan hanya dikenali sebagai ilmu berkelahi kepada ilmu hulubalang ilmu perajurit, ilmu kesaktian atau ilmu gagah berani yang lebih difahami sebagai ilmu seni perang Melayu tradisi yang menjadi pakaian para pahlawan atau panglima perang. Sejarah silat secara langsung selari dengan sejarah sejarah perkembangan tamadun kerajaan Melayu tradisi di mana angkatan pertahanan negara dianggotai oleh pahlawan dan orang perang yang mahir silat. Kisah peperangan dan kehebatan wira dan wirawati yang menjadi pemimpin perang memang tercatat dalam kebanyakan sastera Melayu tradisi sama ada hikayat dan panji Melayu (Harun Mat Piah : 1980. Hal. 70-71).

Orang Melayu telah mencipta dan mengamalkan ilmu seni bela diri atau silat sebelum kedatangan pengaruh luar, kemudiannya menjadi penting dalam membentuk kekuatan pertahanan kerajaan Melayu tradisi seperti kerajaan Melayu tradisi Kedah Lama, Beruas, Langkasuka, Campa, Kamboja, Srivijaya, Majapahit, Melaka dan Pattani (C.T.Fitzgerald : 1970. Hal. 287-310). Silat melahirkan ramai pahlawan bukan sahaja untuk tujuan mempertahankan negara dalam konflik di rantau tetapi telah terlibat membantu negara sekutunya. Misalnya, kerajaan Melayu Campa telah menghantar perwira-perwiranya dalam beberapa peperangan seperti di Kalimantan, Majapahit dan Minangkabau di Sumatera (Rahman Ismail :  2003. Hal. 16).

Senjata silat yang berbentuk lengkap wujud sekitar 2500 tahun dahulu dengan penemuan keris tembaga di daerah Sungai Mekong dan lukisan di candi Borobodor di Tanah Jawa. Panglima Campa misalnya kerap mendapat tempat dan dimuliakan di kalangan raja Melayu kerana memiliki pengetahuan silat, mahir dalam ilmu perang dan pemerintahan. Menunjukkan bahawa silat telah lama bertapak atau kukuh dalam masyarakat Melayu. Kerajaan Kemboja (Funan) dan Campa merupakan dua kerajaan yang berjiran dalam kelompok dan zaman yang sama. Tetapi di abad yang sama, kerajaan Campa yang berjiran dengan Cina kerap berperang tanpa mahu tunduk kepada Cina (Abd.Rahman Ismail : 2003).

Silat menjadi penting dan pernah diletakkan di bawah perlindungan istana untuk membentuk angkatan perang raja. Raja-raja Melayu menggalakkan putera dan anak-anak pembesar mempelajari silat dan ilmu-ilmu lain yang sehubungan dengan keperluan perang. Pendekar yang handal diangkat mengetuai angkatan perang dan mendapat kurnia dan darjat daripada raja. Di dalam sejarah Melayu (A. Samad Ahmad : 1996. Hal. 75) menceritakan Sultan Muhammad Shah telah memilih seorang pegawai Campa sebagai pegawai kanan kerana orang Campa memiliki kemahiran dalam ilmu perang atau ilmu berkelahi dan pengetahuan dalam pemerintahan negeri.

Persilatan Melayu dan kepahlawanannya dicatat dengan indah dan meluas di dalam karya sastera Melayu misalnya Hikayat Hang Tuah di zaman kegemilangan Melaka (Kassim Ahmad : 1971). Dalam masa yang sama Nagarakartagama oleh Prapanca (Siti Hawa Salleh : 1987) mencatatkan di zaman kerajaan Majapahit di bawah pemerintahan Hayam Wuruk dengan Patih Gajah Mada (1350-1389) mengesahkan pahlawan-pahlawan Jawa yang termasuk di dalamnya Tameng Sari. Penjurit bernama Tameng Sari itu terbunuh dalam
pertempuran silat menentang Hang Tuah dan kerisnya dihadiahkan kepada Hang Tuah setelah peristiwa itu oleh Betara Majapahit (Hikayat Hang Tuah : 1973. Hal. 136).

Pada tahun 1511 kerajaan Melayu Melaka telah melengkapi angkatan perangnya dengan senjata api seperti istinggar dan meriam. Alfonso de Albuquerque telah mencatatkan mengenai Perang Melaka bahawa pahlawan Melayu yang disebutnya orang Melayu sebagai orang Islam,

“Orang Islam mula menembak orang-orang kita dengan meriam yang diletakkan di dalam kubu dan tembakkan mereka telah mencederakan beberapa orang. Apabila letupan senjata api yang pertama berakhir, Alfonso de Albuquerque mengarahkan supaya tiup trompet dan dengan laungan ‘Saint James’ mereka menuju ke atas jambatan tempat pasukan itu berada.”
                                                                        (Albuquerque : Caesar Timur :1995. 108)

Dalam Tuhfat Al-Nafis menggambarkan tentang peperangan atau pertempuran di mana pahlawan menggunakan silat di samping menggunakan pelbagai bentuk dan jenis senjata mengikut kesesuaiannya seperti berikut,

Shahdan : setelah selesai mesyuarat dan muafakat maka Yam Tuan Muda pun menyuruh Bugis-Bugis itu memusung. Kemudian lalu disuruhnya langgar kubu Terampak itu lalu dikeluarilah oleh orang Siak dan orang Siantan mana-mana yang sebelah dia. Maka beramok-amoklah dan berbedil-bedil meriam lela rentakanya, kemudian berapat bercencangkan kelewang dan pedang dan lembing, kemudian berapat bertikamkan keris pendek, bercekak pinggang, sama seorang maka sangatlah ramainya perang itu kerana sama-sama tidak tidur : Anak Selangor dan Anak Siak.
                                                                                  (Tuhfat Al-Nafis : 1995. Hal. 108)
                                   
            Petikan Tuhfat Al-Nafis di atas memperlihatkan suasana dalam strategi perang Melayu, ketika tempur jarak jauh mereka menggunakan bedilan-bedilan atau tembakan meriam lela rentaka, apabila kedua pihak semakin rapat mereka menggunakan senjata panjang seperti lembing atau tombak untuk meradak lawannya. Apabila kedudukan lawan lebih dekat mereka menggunakan senjata yang lebih pendek daripada lembing seperti pedang, sundang kelewang untuk mencencang lawan. Senjata seperti keris pendek hanya digunakan ketika lebih rapat dengan kaedah tikaman. Manakala apabila musuh telah terlalu rapat dan senjata tidak dapat digunakan atau ketiadaan senjata, mereka akan bertarung dengan silat atau beradu tenaga dengan mengangkat atau membanting lawan ke tanah. Petikan tersebut memperlihatkan silat dapat digunakan dalam berbagai keadaan sama ada untuk tujuan mempertahankan diri hinggalah pertarungan dalam peperangan.

            Dalam syair Sultan Abu Bakar terdapat rangkap syair yang menekankan bahawa mempertahankan negara adalah kewajipan pada setiap warganegara, mereka harus sentiasa siap siaga mempertahankan negara digambarkan di dalam syairnya,

                        Telah muafakat sekalian rata
                        orang kenamaan habislah rata
                        hadir sekelian alat senjata
                        lembing tombak perisai bergenta.

                        Sekelian senjata berbagai-bagai neka
                        meriam senapang lela rentaka
                        sekelian perahu berapil belaka
                        dandang lengkomg kenaikan peduka

                        Ramai berhimpun segala orang
                        hadirlah sudah kelengkapan perang
                        serta dengan panglima hulubalang
                        riuh-rendah gong dan gendang.                               (Fauzi Basri : 1983)


Petikan di atas memperlihatkan sifat kemuafakatan antara rakyat jelata dan pemimpin perang yang terdiri daripada panglima, hulubalang dan rakyat jelata lengkap dengan berbagai aneka senjata mengikut kemahiran masing-masing termasuk meriam, senapang lela rentaka serta riuh dengan bunyi gong gendang perang. Walaupun tidak terdapat sebutan silat dalam petikan di atas, tetapi perkataan panglima, hulubalang dan semangat wira negara yang ditiupkan dalam syair tersebut menunjukkan silat terus wujud dalam masyarakat Melayu ketika itu (Siti Aisiah Murad. 1973)

Kerajaan Melayu-Bugis misalnya menonjolkan ketokohan Raja Kecil yang telah terlibat dalam mempertahankan beberapa perang saudara kerajaan di Tanah Melayu, Palembang, Jambi dan Sumatera (Mohd. Yusoff Hashim. Hikayat Siak. 1992 – 121-123). Keadaan ini menjadi semakin jelas apabila orang-orang Bugis dan Minangkabau terlibat dalam politik di negeri-negeri Melayu yang membabitkan kerajaan Melayu Johor. Orang-orang Minangkabau yang mahir dalam persilatan dan ilmu perang campur tangan dalam sejarah Johor khasnya mengenai perebutan takhta antara Raja Kecil dari Siak (dikatakan Raja ini keturunan Sultan Mahmud mangkat dijulang di Kota Tinggi, Johor). Konflik di Johor melibatkan orang-orang Bugis yang juga mahir dalam ilmu perang serta persilatan Melayu. Nama-nama seperti Daeng Celak, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Kemasi dan Daeng Perani terkenal dalam sejarah Selangor dan Kedah sebelum tertewasnya Raja Haji di Johor melawan Belanda (Asyaari Muhammad 2005).

Sejarah di atas memperlihatkan istana yang menaungi institusi silat dan para pahlawan Melayu dan orang perang telah berubah selepas campur tangan Belanda di Indonesia dan Inggeris di Tanah Melayu sekitar 1824 dan 1870-an. Istana tidak lagi menaungi institusi silat dan tidak lagi mempunyai orang perang. Pahlawan Melayu hilang daripada istana. Pahlawan orang perang telah kembali ke pangkuan masyarakat desa bagi membentuk kekuatan bangsa meneruskan usaha menentang penjajah. Bagaimanapun hubungan istana dengan silat masih berterusan misalnya di arah mata angin barat Kuala Selangor terdapat gelanggang silat bagi kerajaan Negeri Selangor ketika itu (Yusuf Hassan. 1961. Hal. 20).

Sehingga abad ke-19 pahlawan-pahlawan Melayu yang mahir dalam ilmu persilatan terus menentang penjajah. Di Jawa, ‘Perang Diponigoro sekitar 1850an’ menunjukkan kewibawaan mereka menentang Belanda (Brain Horison. 1966). Demikian juga dengan perang Acheh menentang Belanda memperlihatkan keperwiraan Tenku Umar di dalam konflik tersebut, walaupun beliau sendiri terbunuh di dalam peperangan tersebut. Di dalam sejarah Semenanjung Tanah Melayu terkenal dengan nama-nama seperti Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Sagor, Pandak Indut, Puntum dan lain-lain merupakan pejuang dan pahlawan Melayu dicatatkan dalam sejarah Pasir Salak, Perak (1870an). Seterusnya nama-nama seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah terkenal menentang Inggeris di Semantan, Pahang dalam tahun yang sama seperti di atas (Aruna Gopinath 1991).

Selepas penjajahan Jepun pada 1945 atau zaman komunis di Tanah Melayu ditemukan tokoh seperti Kiai Salleh, Kiai Osman, Kiai Samsuddin, Hj. Abbas dan sebagainya. Maknanya silat dan bangsa Melayu tidak ketandusan pemimpin yang terus memugar dan menanam semangat cintakan tanah air dan berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir. Di atas hanyalah beberapa nama yang tercatat dalam sejarah yang berjuang secara ikhlas untuk negara yang tercinta. Kehebatan mereka mempunyai sejarah dan hubungan rapat dengan ilmu persilatan di samping ilmu-ilmu lain yang membolehkan mereka menjadi pemimpin yang berkesan.

Mereka merupakan pahlawan secara langsung memperlihatkan silat terus wujud hingga kurun yang ke 20. Di Semenanjung, Sabah dan Sarawak penentangan terhadap Inggeris berterusan. Di kedua negeri telah membabitkan nasionalis tempatan, khasnya orang-orang Melayu di Kuching dan Kota Kinabalu. Di Semenanjung Tanah Melayu, Perang Dunia kedua antara 1940-1945, kemudiannya mencetuskan pula ‘Perang Parang Panjang’ antara orang Melayu melawan MPAJA dan cawangan Bintang Tiga yang kebanyakannya terdiri daripada orang Cina berlaku di Johor, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan (Khairi Abdullah. 1974).

Sejarah memperlihatkan silat dan kepahlawanannya terus memainkan peranan penting dalam membentuk jati diri dan semangat cintakan negara. Pahlawan Melayu terus wujud dalam peristiwa yang menggugat bangsa dan negara.

Sepanjang pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu sailat terus dipinggirkan dengan tidak memasukkan ilmu silat dalam pendidikan di sekolah Melayu. Silat tidak mendapat tempat dan disusun menjadi mata pelajaran sebagaimana ilmu dan pelajaran lain seperti senaman, tarian, nyanyian, pertukangan, lukisan, ilmu kesihatan, ilmu bumi, sejarah, bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan kira-kira. Penyebaran silat dalam alam pendidikan di Tanah Melayu menjadi semakin malap apabila tidak mendapat tempat dalam kurikulum pendidikan di perguruan Melayu di Maktab Perguruan Sultai Idris Tanjung Malim (Awang Had Saleh 1974).

Rasa kebimbangan Inggeris terhadap semangat juang Melayu akan berputik daripada pelajaran silat. Justeru, ilmu persilatan terus menerus terpinggir dari institusi pendidikan formal di sekolah-sekolah di Tanah Melayu. Silat hanya memasuki alam pendidikan sekolah di Malaysia secara tidak formal atau bertaraf ko-kurikulum selepas pembentukan Malaysia (1963) itupun melalui usaha persatuan-persatuan silat di sekolah. Silat semakin diberi perhatian selepas tahun 1969 iaitu setelah berlakunya peristiwa 13 Mei, tahun yang sama (Abd. Rahman Ismail, 2003: Hal. 148). 

Penglibatan pelajar di dalam silat melalui ko-kurikulum di sekolah dititik beratkan setelah Laporan Kabinet Mengkaji Dasar Pelajaran tahun 1979 (dipengerusikan oleh Dr. Mahathir Mohamad selaku Menteri Pendidikan). Silat menjadi aktiviti ko-kurikulum dan menjadi pilihan wajib dalam kegiatan pergerakan beruniform. Perhatian terhadap silat ini dilanjutkan dalam latihan guru di maktab-maktab perguruan sesudahnya. Keadaan ini diikuti dengan penerimaan silat sebagai aktiviti persatuan di institusi-institusi pengajian tinggi awam seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Putera Malaysia. Pada September 2008, silat telah diperkenalkan di bawah Fakulti Tari di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

2.3      JENIS JENIS SILAT.
Seni Silat atau Pencak Silat adalah salah satu seni mempertahankan diri bagi bangsa Melayu atau Nusantara yang diamalkan sejak berkurun yang lampau. Usia sesebuah ilmu atau salasilah seni silat tidak dapat dihuraikan secara terperinci dan tepat kerana tiada usaha-usaha untuk mengkaji dari pihak berwajib secara mendalam. Ada yang menganggarkan seni ini sememangnya telah berusia beratus-ratus tahun dan diperturunkan dari generasi ke sebuah generasi. Ini termasuklah adanya pengamal-pengamal seni mempertahankan diri ini dari aliran Silat di Malaysia, Filipina, Brunei, Indonesia, dan Thailand. Di Malaysia sahaja telah wujud beratus-ratus tahun yang lampau dan mempunyai pelbagai cara seperti menggunakan senjata atau tanpa menggunakan senjata. Bagi silat yang menggunakan senjata. Senjata-senjata Melayu lama yang sering digunakan seperti keris, badik, kerambit, parang, pedang, lading, Tumbuk Lada, tekpi, tongkat, tembong dan sundang. Bagi silat yang tanpa menggunakan senjata, pengajaran akan menumpukan perhatian kepada pertempuran tangan kosong (tanpa senjata).

Silat terbahagi kepada silat yang menjurus kepada seni atau bunga dan buah pukul atau kedua-duanya sekali (seni dan buah pukul). Namun begitu kebanyakan jurulatih mengajarkan kedua-duanya sekali. Silat seni seperti silat pulut biasanya dipersembahkan pada majlis rasmi dan majlis keramaian seperti majlis perkahwinan manakala silat dari jenis buah pukul atau seni tempur pula lebih banyak disorokkan dari pandangan ramai atas dasar-dasar memelihara seni permainan dan beberapa alasan yang lain. Silat sehingga kini sudah banyak yang dipecahkan aliranya, seperti mana pecahnya silat Gayung (Gayung Laksamana, Gayung Laksamana Pahang dan lalin-lain lagi). Di Malaysia sahaja terdapat hampir 500 Perguruan Silat yang telah dapat dikesan.

Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa silat kini semakin tidak mendapat sambutan dari golongan pemerintah yang sepatutnya memelihara seni ini dengan alasan, banyak ajaran sesat yang terdapat dalam silat. Mengikut cerita orang dulu-dulu, Melayu menang pada peristiwa 13 Mei kerana silat, silat menjadikan seseorang melayu itu berani, kerana mengandungi unsur-unsur mistik dan tahyul. Sejauh mana kebenaran itu tidak dapat dipastikan kerana tiada kajian mendalam dilakukan. Apa yang pasti Silat akan terus menjadi warisan dan lambang jadi diri melayu sedunia.

2.4      PANTANG LARANG DALAM SILAT.

1. Tidak boleh menderhaka kepada guru.
2. Tidak boleh menderhaka kepada ibu.
3. Tidak boleh menderhaka kepada bapa.
4. Tidak boleh mencaci silat-silat Melayu asli yang lain
5. Tidak boleh bergaduh semasa ahli silat

Jelas di sini, pantang larang yang terdapat di dalam silat ini ialah untuk mendidik rohani supaya mengenang budi kepada guru yang membuka mata, hati dan fikiran untuk mengenal antara yang baik dan buruk (untuk rohani), dan mentaati kepada kedua ibu bapa yang telah banyak berjasa memelihara dan kerana mereka manusia dapat lahir di dunia.

Juga, untuk mewujudkan perpaduan di kalangan ahli-ahlinya dan masyarakat kerana penuntut-penuntut silat dilarang bergaduh sesama sendiri, kerana di zaman dahulu yang khianat ialah rakan seperjuangan.

Umpamanya Hang Tuah sanggup membunuh Hang Jebat, kawan seperjuangannya. Silat tidak mahu perkara ini berlaku di kalangan ahli-ahlinya. Apabila sudah menjadi ahli Silat, mereka sudah dianggap seperti adik-beradik. Sama-sama berusaha menaikkan nama silat.

Pantang larang ini juga tidak menimbulkan rasa ketakutan kepada mereka yang ingin mempelajarinya. Malah dapat menginsafi belia-belia bahawa mengenang budi kepada guru dan ibubapa adalah wajib sekali. Tidak ada larangan untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang maksiat kerana dari fahaman Silat Hanafi, ini hanya cabang-cabang dari kekuatan iman seseorang itu.
Bila seseorang itu sudah melatih dirinya mentaati guru dan ibubapanya, maka peribadinya dan jiwanya akan baik dan bersih. Bila rohnya bersih maka senanglah ia menghadapi Tuhan yang Esa dan dengan sendirinya dapat menjauhkan dirinya dari melakukan perbuatan-perbuatan maksiat.





2.5      ETIKA PAKAIAN SILAT.
Pakaian bagi lelaki melayu pada zaman tradisi dikenali sebagai baju Melayu. Baju Melayu yang lengkap turut menjadi pakaian pahlawan-pahlawan Melayu pada zaman silam secara tidak langsung menjadi pakaian silat. Petikan talibun ini menggambarkan pakaian lengkap lelaki Melayu.

Yang disebut pakian lengkap
Pertama memakai destar
Kedua bercekak musang
Ketiga berkain samping
Keempat berseluar labuh
Kelima berkeris
Keenam berselempang
Ketujuh bengkung berpending
Kelapan berkasut kaki
Kesembilan berkambil sirih
Kesepuluh bergelang berdokoh
Kesebelas bercincin
Kedua belas bersapu tangan.

Ungkapan talibun ini menggambarkan pakian lengkap lelaki Melayu pada zaman tradisi. Keris sebagai satu unsur dalam pakian lengkap lelaki Melayu menggambarkan kepentingan ilmu beta diri bagi orang lelaki. Kewujudan keris pada seorang lelaki pada zaman tradisi bukanlah sebagai symbol tetapi digunakan sebagai senjata apabila diperlukan. Keadaan ini menggambarkan baju Melayu merupakan pakaian yang sesuai untuk bersilat malah pakian Melayu dianggap tidak lengkap jika tidak disertakan dengan senjata. Kepentingan senjata pada seseorang menggambarkan kepentingan ilmu seni silat bagi seorang lelaki Melayu pada zaman tradisi.
Pada zaman tradisi, keluar berjalan tanpa senjata umpama persiapan yang kurang lengkap. Walau ke mana seorang lelaki itu pergi, keris tetap dibawa., Cuma cara memakainya tidak sama, iaitu bergantung pada tempat yang dikunjungi. Misalnya jika hendak ke masjid, alat-alat seperti bengkung berpending, gelang, cincin, dan sape tangan tidak perlu dipakai, tetapi keris tetap dipakai secara tersembunyi.






Kalau berbaju Teluk Belanga
Kain diikat dagang luar
Kepala berkopiah sahaja
Kain labuh samping ke keting
Kaki seluar bayang bayangan
Keris dipinggang tidak Nampak
Itu pakaian ke masjid
Atau bertandang ke sanak saudara


Petikan ini menunjukkan kedudukan keris dipinggang, iaitu tidak kelihatan atau disorokkan dengan tujuan pemakainya untuk pergi ke masjid atau menziarahi sanak saudara. Berlainan pula cara berpakaian untuk upacara rasmi di istana atau pakaian orang-orang berpangkat, keris disisipkan di sebelah kiri serta dibiarkan pada kedudukan yang boleh dilihat orang. Kehadiran keris bukan sahaja sebagai senjata tetapi untuk menambahkan kesegakan perawakan seseorang lelaki. Senjata dianggap sebagai kawan dan pemiliknya perlu mengetahui ilmu seni silat agar tidak membahayakan diri. Tanpa kepandaian bersilat, musuh dengan mudah merampas senjata dan digunakan untuk menikam pemakai senjata tersebut.

Kalau memakai Cekak Musang
Kain diikat dagang dalam
Kain labuh dibawah lutut
Pinggang memakai bengkung lebar
Keris terpampang sebelah kiri
Kepala memakai destar
Seluar labuh sampai keting
Itu pakaian raja-raja
Atau datuk dan panglima
Atau orang patut-patut
Atau orang berbangsa
Yang duduk dihelat jamu
Atau majlis dibalai besar.



Kedudukan keris menggambarkan status sosial pemakainya. Contohnya, memakai kereis di belah kiri pinggang menggambarkan pemakainya daripada golongan bangsawan.

Kalau memakai keris
Keris tersisip sebelah kiri
Keris beradat berlembaga
Kalau memakai keris terlentang
Itu tanda mencari lawan
Bagai ayam kokok berdentang
Bagai dubalang masuk gelanggang
Elok dipakai dalam hutan
Atau belayar tengah lautan
Untuk menjagaa-jaga diri
Kalau keris sampir terlangkup
Keris tidak mencari lawan
Yang dipakai dalam jamuan
Yang di pakai pergi bertandang.

Petikan talibun ini menggambarkan pada zaman tradisi, cara memakai keris di pinggang bukanlah semata-mata sebagai symbol atau isyarat, tetapi untuk kepentingan penggunanya. Misalnya, jika memakai keris terlentang bermakna si pemakai ingin mencari lawan. Keris yang terlentang senang dipegang dan dihunuskan untuk menikam. Keris terlangkup bermakna, keris tersebut belum bersedia digunakan dan dipakai sekiranya keadaan di sekeliling tidak mencurigakan. Pengarang Hikayat Hang Tuah menggambarkan, Hang Tuah sentiasa mengubah kedudukan kerisnya apabila keadaan memerlukan dia berwaspada.

“Maka Laksamana pun meniarap pada kaki raja seraya memakai dihadapan raja: pertama dipakainya seluar beledu hijau sampai ke lututnya, sudah itu  maka berkain hijau digangsi yang bertepis emas dipahat bersirat, diragam dan diikat pinggang khalifah tujuh belit bersurat ayat Quran dan berbaju kesumba murup bersurat doa besar-besar dan memakai keris Parong Sari. Maka mastol pemberian Sheikh Mansor itu dipakainya” (Hikayat Hang Tuah, 1973).

Petikan ini menunjukkan “pakian yang indah” pemberian raja itu terdiri daripada seluar paras lutut, samping (kain hijau), bengkung (ikat pinggang), baju, keris, dan tengkolok atau mastul. Mastul merupakan ikat kepala atau destar yang ringkas. Oleh sebab pakaian ini digunakan untuk pertarungan, terdapat beberapa ciri fizikal dan spiritual dilakukan sebagai persiapan untuk membantu pemakainya mencapai kemenagan. Antaranya seluar singkat paras lutut untuk memudahkan pergerakan, ikat pinggang yang sepanjang tujuh belit boleh menjadi perisai daripada tusukan keris lawan, ayat al-Quran yang ditulis dibengkung sebagai azimat , mastul pemberian daripada guru yang keramat dan keris dipakai di hadapan menunjukkan pemakai mencari lawan dan mudah untuk dicabut dari sarungnya. Keadaan ini menggambarkan pada zaman dahulu baju Melayu memang direka untuk pakian pahlawan dan secara tidak langsung baju Melayu memang sesuai dipakai untuk bersilat.  Hikayat Awang Sulung Merah Muda turut menggambarkan pakaian Awang Sulung seperti berikut:

Seluar panjut panjang kaki,
Meratus cermin dikaki,
Bajunya baldu ainul-banat,
Dicabik sikit dijerumat,
Harganya lima keti juga,
Dikena ikat pinggangnya
Anak cindai,anak serasah;
Kainnya kain Bugis Kembayat,
Bukan Kembayat zaman ini ,
Kembayat zaman dahulu
Tengkolok kamponh pelangi,
Bukan pelangi zaman ini,
Pelangi zaman dahulu,
Kerisnya sempena ganja iras,
Sebulan dagang mengalas,
Jejak ditikam mati juga,
Pedang Jenawi lantai balai.,
Diyam didalam cembol gading,
Minyak bernama silompat pagar,
Sebulan dagang menggalas,
Baunya ada tercium juga.                                         
 (Hikayat Awang Sulung Merah Muda. 1995)


Bab 3 : Komponen Persilatan Melayu

3.1      Komponen yang Terdapat di dalam Ilmu Silat
            Segala inti pati yang terdapat di dalam ilmu silat mengandungi ciri-ciri keterampilan yang secara umumnya dikenali di seluruh Nusantara. Terdapat dua komponen yang saling berkaitan dalam ilmu persilatan iaitu komponen fizikal dan komponen kerohanian/kebatinan. Komponen fizikal mengetengahkan aspek-aspek gerakan yang diistilahkan sebagai bunga dan buah. Bunga ataupun tari merupakan gerak asas dan landasan utama dalam memulakan pembelajaran silat. Gerak langkah bunga tersebut mengandungi ciri budaya Melayu/Nusantara yang menekankan aspek kesenian adab dan tertib sebelum maju ke peringkat buah.
            Selain itu, ilmu persilatan yang menggunakan wirid, hizib, doa, dan yang sejenis dengannya adalah berasal dari ajaran Islam yang benar. Sebaliknya tidak dapat dinafikan terdapat juga yang menggunakan mantera, jampi, serapah, dan yang sejenis dengannya. Mengenai ini sukar dijejaki sumber-sumber asal hingga ke atasnya. Oleh itu, ada yang boleh diamal dan digunakan. Sebaliknya ada pula yang mengandungi unsur khurafat yang menjerumuskan ke arah syirik yang bertentangan dengan akidah Islam (Abdullah, 2009)

3.2      Unsur Agama dalam Persilatan
Dalam konteks masyarakat Melayu, tradisi pembelajaran silat bertindih dengan sfera agama Islam. Pertindihan antara seni bela diri dengan institusi agama bukan sahaja wujud dalam masyarakat Melayu, malah hal ini juga berlaku di dalam masyarakat lain. Misalnya dalam masyarakat Cina, seni bela diri kung fu berkaitan rapat dengan candi Shaolin dan Tau.

3.3      Peranan Institusi Persilatan Melayu
            Istilah “Silat” sudah tidak asing lagi dalam masyarakat Melayu Nusantara khususnya di Malaysia. Menyedari akan hal ini, fungsi ataupun peranan institusi persilatan Melayu merupakan salah satu faktor penggerak kesinambungan ciri-ciri dan nilai-nilai budaya yang ada di dalam tamadun Melayu. Alam persilatan Melayu amat sinonim sebagai alat pelantar perhubungan yang mengikat jalinan sosial dan memberi satu ikatan emosi dalam satu pakatan ilmu. Dalam mempelajari silat, setiap individu perlu berinteraksi dengan rakan sebaya dan pengajar atau ‘guru’. Malah rakan sebaya adalah pelantar sosial yang terpenting dalam pembelajaran silat. Interaksi di peringkat ini dikawal oleh struktur hubungan sosial tiga penjuru yang padat dengan peraturan dan adab antara guru dan murid, antara murid dan murid(rakan sebaya), antara guru dan kumpulan sebaya(seperguran). Hubungan antara rakan sebaya yang melalui pembelajaran di bawah satu perguruan amat penting dalam organisasi sosial masyarakat Melayu dan berkemampuan menjadi pembentukan sosial formal yang menyerupai ‘kumpulan sosial’ (Stunashima, 2004).





Bab 4   :   Perspektif Mahasiswa/wi KUIS terhadap Ilmu Persilatan Melayu

            Setelah menemu ramah beberapa mahasiswa/wi Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dapat disimpulkan bahawa dalam ilmu persilatan ini memang benar mengamalkan ilmu kebatinan ketika bersilat. Pesilat dan ilmu batin tidak dapat dipisahkan. Akan tetapi ilmu kebatinan terbahagi kepada dua. Yang pertama, ilmu batin yang berteraskan al-Quran, zikir dan selawat dan seterusnya ilmu batin yang mensyirikkan Allah S.W.T. Kita sebagai orang biasa tidak boleh terus serkap jarang terhadap para pesilat kerana tujuan asal silat dibuat adalah untuk mendidik rohani supaya mentaati perintah Allah di samping membela diri jika diserang musuh. Tambahan pula, kebanyakan tok guru silat mempunyai latar belakang agama yang sangat baik. Tok guru akan memberikan amalan-amalan yang berguna kepada anak-anak muridnya supaya dengan amalan itu mampu mendidik rohani anak-anak muridnya agar meletakkan segala pengharapan kepada Allah bukan bersandarkan kepada kemahiran dan handalnya seorang pesilat itu.

            Walau bagaimanapun, timbul persoalan dalam kalangan masyarakat tentang para pesilat bahawa kebanyakan daripada mereka setelah tamat pengajian sebagai seorang pesilat, bukan ingin berbakti kepada masyarakat akan tetapi lebih memilih untuk menjadi ‘pailang’ atau menyertai kumpulan gangster untuk menunjukkan kehebatan diri. Perkara ini sungguh memalukan bagi para pesilat kerana ilmu silat yang diajar amat mendidik penuntutnya supaya sentiasa merendah diri dan tidak sesekali menunjukkan kehebatan ataupun mengeluarkan ‘bunga’ atau ‘buah’ kecuali dalam keadaan terdesak.

            Disebabkan masalah ini jugalah, silat semakin dilupakan dalam kalangan masyarakat Melayu di Malaysia. Kekangan daripada ibubapa yang melarang anak-anak mereka untuk menyertai silat merupakan antara salah satu faktor kurangnya penyertaan anak-anak muda dalam silat. Ini kerana mereka tidak mahu melihat anak-anak mereka sendiri terjebak dalam ilmu-ilmu syirik dan khurafat. ‘Mencegah lebih baik daripada mengubati’.

            Silat lebih terkebelakang berbanding ilmu mempertahankan diri yang lain? Tidak. Silat masih lagi mendapat tempat yang sangat baik di mata masyarakat Malaysia. Mungkin kita lihat silat hanya sekadar di ko-kurikulum sekolah semata-mata, tetapi yakin dan percayalah bahawa silat yang diterapkan dalam ko-kurikulum sekolah hanya menekankan silat olahraga yang lebih tertumpu untuk pertandingan semata-mata dan jarang sekali diajar ilmu persilatan ini ketika untuk bertempur. Begitulah uniknya ilmu persilatan Melayu Nusantara ini. Seseorang yang ingin belajar lebih atau mendalami ilmu persilatan ini hendaklah dia mencarinya di luar kawasan persekolahan.

            Selepas kedatangan Inggeris di Tanah Melayu, silat tidak lagi dinaungi oleh istana dan para panglima perang pulang ke kampung halaman masing-masing untuk meneruskan pembelajaran tradisi silat ini di kampung-kampung. Disebabkan itu jugalah, seperti yang kita ketahui kebanyakan silat yang ada sekarang banyak terdapat di pedalaman-pedalaman kampung akibat daripada kesan penjajah dahulu. Walau bagaimanapun, perkara tersebut tidak sesekali melemahkan semangat orang Melayu untuk terus mempelajari ilmu silat ini.

           
            Yang penting ialah seseorang penuntut ilmu silat itu mestilah pandai memilih guru silat yang ingin dipelajari. Takut-takut ilmu yang diajar bertentangan dengan syariat yang diperintahkan oleh Allah S.W.T dan nabi Muhammad S.A.W. Kita sebagai orang Melayu yang sentiasa mendukung institusi persilatan Melayu ini haruslah bersemangat dan tidak sesekali luntur semangat untuk terus menyelami dan mempelajari ilmu persilatan Melayu Nusantara ini.

            Apabila menemu ramah mereka (pengamal silat), mereka amat berharap bahawa silat ini mendapat penyertaan yang sangat baik daripada anak-anak muda khususnya kerana anak-anak muda atau generasi ‘Y’ ini merupakan pewaris kepada ilmu silat ini dan kebudayaan tradisi Melayu yang lain. Kita tidak mahu silat ini menjadi seperti mamut (seekor gajah berbulu di kutub utara) yang pupus disebabkan tiada pewaris yng meneruskan kelangsungan spesis mereka. Begitu jualah silat. Ayuh sama-sama kita memartabatkan silat ini di tempat yang paling tinggi dan menjadikan ia sebagai salah satu pelajaran yang wajib dipelajari oleh orang Melayu khususnya tidak kira muda mahupun yang tua. Majulah silat untuk negara.






















Penutup
           
            Sebagai kesimpulannya, belum ada kumpulan fakta yang tersedia untuk menggambarkan sejarah Seni Silat Melayu dengan jelas. Walau bagaimanapun, masih boleh dibuat satu susur galur berdasarkan beberapa fakta dan hipotesis aspek-aspek Seni Silat Melayu dan sejarahnya. Pertamanya, amat besar kemungkinan seni silat merupakan seni bela diri hasil ciptaan orang Melayu dan bukannya ditiru daripada bangsa lain. Hal ini berdasarkan perhitungan bahawa seni silat mempunyai ciri-ciri yang tersendiri yang amat berbeza daripada seni mempertahankan diri bangsa lain. Jika dianalisis legenda yang dibicarakan di atas jelaslah dalam legenda tersebut masih ada kelemahan dan kekaburan untuk diakur sebagai rujukan atau indeks yang konkrit lagi ilmiah tentang genesis seni silat Melayu. Cuma daripada legenda itu dapatlah kita simpulkan kefahaman awal tentang teori dan prinsip yang diterapkan ke dalam ilmu persilatan Melayu.

            Apabila dikaitkan secara logik dengan kaum perempuan yang dapat mengalahkan kaum lelaki untuk menjelaskan bahawa prinsip lemah-lembut dalam seni silat Melayu, maka kaitan itu bukanlah negatif. Sebaliknya, prinsip lemah-lembut itu mampu menundukkan mereka yang lebih perkasa. Begitu juga halnya jika dikaitkan secara logik dengan sekuntum bunga yang berjaya menyelamatkan kelopaknya daripada dimusnahkan oleh air terjun untuk menerangkan bahawa seni silat Melayu itu mengandungi unsur estetika yang kukuh dan unsur strategi. Selanjutnya sungguhpun asal-usul seni silat tidak dapat dibuktikan secara ilmiah, namun sejarah ringkas seni silat dapat juga diaju dan dikemukakan berpandukan tinggalan zaman dan aliran sejarah walaupun secara kasar dan terbatas.

            Mudah-mudahan dengan sedikit kajian ini mampu memberikan sedikit pengetahuan kepada sidang pembaca amnya dan khasnya mahasiswa/wi KUIS terhadap warisan nenek moyang kita dahulu iaitu ilmu mempertahankan diri silat di samping memberi sedikit semangat dan motivasi kepada anak-anak muda agar terus aktif bersilat supaya budaya silat ini terus bugar di mata masyarakat Melayu khususnya dan amnya seluruh rakyat Malaysia.

           
















Bibliografi

gayongmalaysia.wordpress.com/sejarah/   
panjisuryanata.blogspot.com/2013/02/asal-usul-pencak-silat.html
Pencak Silat Seni Bela Diri Indonesia Jilid 1, Pulau Madura Jawa Bali : George F. De Groot, Dr. Notosoejitno; 2004.
persatuanpancaindrasenisilatlintaumalaysia.wordpress.com/2011/02/16/asal-usul-silat
Seni Silat Sendeng Sejarah dan Kurikulum Pembelajaran, Kamdi Kamil, Yayasan Warisan Johor, 2009.
Seni Silat Melayu : Sejarah, Perkembangan dan Budaya, Abd. Rahman Ismail, Dewan Bahasa dan Pustaka; 2008.
writerdruid.wordpress.com/2009/10/27sejarah-silat-melayu/
www.silatlincah.com.my/sejarah_persilatan.html




1 comments:

  1. Assalamualaikum.Maaf, boleh saya minta salinan penuh kajian encik?
    atau contact saya di 01115100894

    ReplyDelete

 

Flickr Photostream

Twitter Updates

Meet The Author